Kerjasama tingkatkan hasil kerajaan

KOTA BHARU – Pencerobohan tanah kerajaan, hutan dan kelewatan mengemas kini status penggunaan tanah mungkin salah satu faktor Kelantan terlepas peluang mendapat hasil sebenar.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Datuk Moh Samsuddin Yusoff berkata, perkara tersebut dapat diatasi dengan menyemak balik status tanah di semua jajahan.

Menurutnya, selain usaha sebegitu, pemilik tanah itu sendiri juga perlu bertanggungjawab mengisytiharkan status terbaharu mereka walaupun cukai yang dikenakan bertambah.

“Dengan  ini, secara tidak langsung hasil kerajaan Kelantan akan meningkat menerusi cukai setelah status tanah telah berubah.

“Dicadangkan juga supaya Pejabat Tanah dan Jajahan menyelidik atau sentiasa kemas kini status tanah yang mungkin tidak bertepatan dengan kegunaannya kerana ini adalah sumber hasil kepada kerajaan negeri,” katanya kepada media.

Terdahulu beliau menerima memorandum sokongan pencegahan rasuah daripada rombongan Pemuda Pas Kelantan yang diketuai Ahmad Fadhli Shaari di pejabat SPRM negeri di sini.

Dalam pada itu, Moh Samsuddin berkata, semakan semula yang dilakukan secara berterusan juga dapat mengelak daripada berlakunya rasuah penipuan untuk mengelirukan status tanah.

“Mana-mana pihak yang berkompromi dalam pelaporan palsu kita tidak akan bertolak ansur,” katanya.

Dalam memerangi rasuah beliau berkata, semua pihak perlu bekerjasama dan SPRM mengalu-alukan inisiatif Pemuda Pas menubuhkan gerakan Kelantan Youth Movement For Anti Corruption (KYMAC) bagi meningkatkan  kesedaran pencegahan rasuah dalam  kalangan generasi  muda dan masyarakat.

Sementara itu, antara kandungan memorandum tersebut adalah, Pemuda Pas menyokong penuh segala usaha dan komitmen SPRM  Kelantan dalam menangani  serta membasmi  rasuah di negeri ini.

Pemuda Pas juga menyifatkan usaha perangi rasuah bukan kerja mudah apabila melibatkan  individu dan kumpulan digelar sebagai jerung.

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment