TANAH MERAH – Seorang wanita yang baharu seminggu diserang penyakit angin ahmar di Kampung Peralla, dekat sini, tidak perlu menunggu lama untuk mendapat bantuan apabila menerima kerusi roda, kelmarin.
Bantuan segera untuk Aniza Ariffin, 43, itu hasil keprihatinan Penyelia Dun Gual Ipoh, Wan Yusoff Wan Musatafa bagi memudahkan pergerakannya yang lumpuh sementara sebelah badan akibat penyakit tersebut.
Penghulu Mukim Peralla, Mustapha Che Ibrahim berkata, selain keadaan kesihatan Aniza, wanita itu memang layak dibantu kerana keluarganya tergolong dalam kalangan keluarga kurang mampu.
“Dia (Aniza) dan suami, Rosli Mohd Noor hanya menoreh getah untuk sara hidup termasuk belanja sekolah anak. Keluarga ini boleh diibaratkan ‘kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang’,” katanya.
Mustapha berkata demikian selepas penyampaian kerusi roda kepada Aniza yang dibuat sendiri Wan Yusoff di Kampung Peralla, dekat sini, kelmarin.
Menurutnya, dia berterima kasih kepada Wan Yusoff kerana prihatin apabila segera mengusahakan bantuan kerusi roda selepas dimaklumkan mengenai keadaan anak mukimnya itu.
“Saya bawa (surat) permohonan kerusi roda kepada Cikgu Wan (Yusoff) selepas dia (Aniza) kena angin ahmar dan sekarang (kelmarin) sudah dapat kerusi roda,” katanya.
Tambahnya, sumbangan untuk wanita itu antara bantuan berterusan diberikan mantan Adun Gual Ipoh terbabit kepada anak mukim Mukim Peralla.
“Sebelum ini pun, sudah banyak bantuan diberikan beliau (Wan Yusoff) kepada penduduk Mukim Peralla seperti sumbangan beras kepada keluarga miskin,” kata Mustapha.
-sinarharian