Kes Kematian Suku Batek Kuala Koh : Semua Pihak Diminta Hormati Kementerian Kesihatan Malaysia

Saya meneliti satu laporan di pautan https://theleaders-online.com/panelist-rubbishes-govts-reason-for-deaths-in-kg-kuala-koh/ melibatkan beberapa orang panelis dalam forum yang bertajuk “What has led to the Kuala Koh catastrophe?” yang telah dianjurkan oleh Malaysian Indigenous Studies (CMIS) di Universiti Malaya pada hari Jumaat baru baru ini bahawa tidak bersetuju dengan punca kematian orang asli Kuala Koh.

Saya agak terkejut dengan kenyataan salah seorang panelis iaitu Dr Steven Chow KS yang merupakan pakar perunding dermatologi yang secara wewenang kelihatannya cuba “membakulsampahkan” keputusan kajian pihak Kementerian Kesihatan berkaitan kes kematian orang asli Suku Batek di Kuala Koh.

Kerajaan Persekutuan melalui kementerian berkenaan telahpun mengeluarkan keputusan hasil kajian mengenai kes tersebut dan menyimpulkan bahawa kematian 15 orang tersebut adalah disebabkan oleh demam campak. Menteri Kesihatan iaitu Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sendiri mengumumkan perkara ini sejak 17hb Jun lalu.

Tidak dinafikan bahawa penduduk di kampung ini sejak sekian lama menghidap jangkitan cacing, penyakit kulit, jangkitan kulat, kes malnutrisi kanak kanak dan beberapa yang lain. Dan untuk hal ini saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pasukan doktor dan pegawai perubatan dari Hospital Orang Asli Gombak yang hampir setiap bulan turun dan merawat penduduk di sini.

Namun apabila dibangkitkan oleh Dr Chow akan keraguan berkaitan kualiti air di Kuala Koh dan beliau seakan akan menyalahkan media yang dikatakan “sugar coated” ataupun cuba “menyembunyikan” berita sebenar dengan melaporkan sisi baik sahaja berkaitan kes ini, maka saya kira pandangan beliau sedikit tersasar. Sejak 11hb Jun lagi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan telah mengesahkan bahawa sumber air di beberapa tempat sekitar Kuala Koh bebas daripada sebarang pencemaran dan radioaktif.

Malahan, sehari berikutnya pada 12hb Jun pula Jabatan Kimia membuat satu persampelan yang dijalankan mendapati tiada pencemaran daripada sisa ladang kelapa sawit menerusi penggunaan dua pestisid dan herbisid.

Seterusnya, Jabatan Alam Sekitar sendiri turut mengesahkan tidak terdapat sebarang kejadian pelepasan sisa daripada aktiviti perlombongan manganese di Aring 10 yang terletak tiga kilometer dari perkampungan Orang Asli Kuala Koh.

Kesimpulannya, sumber air khususnya di kawasan penempatan penduduk Orang Asli suku kaum Batek Kampung Kuala Koh, di sini secara keseluruhan didapati normal dan mematuhi standard kualiti air minum kebangsaan bagi air mentah.

Panelis forum tersebut juga menimbulkan keraguan berkaitan laporan bedah siasat dan menyebut kemungkinan berlakunya penularan wabak. Bahkan bilangan kematian yang dilaporkan oleh pihak Jakoa dan Kementerian juga diragui oleh beliau. Ini semua seakan akan mencabar kesahihan laporan para doktor pakar yang telah dilantik pihak kerajaan dalam melakukan semua kajian termasuklah bedah siasat ke atas mangsa yang terlibat.

Walaupun pasukan Dr Chow dikatakan turun pada 28hb April iaitu hampir seminggu sebelum berlakunya kematian, dan beliau menyebut bahawa tiada tanda tanda berlakunya campak di kawasan penduduk ini, namun umum diketahui bahawa demam campak boleh merebak dengan amat cepat. Simptom demam panas, selesema, batuk dan mata bertukar menjadi merah hanyalah dalam masa dua hingga tiga hari sahaja. Manakala komplikasi pneumonia dan encephalitis yang boleh membawa maut, kerap berlaku kepada pesakit yang kurang imuniti serta nutrien seperti yang terjadi dalam kalangan suku batek di sini.

Justeru saya berharap agar para ilmuan dan ahli perubatan luar untuk sama sama menghormati hasil kajian yang telah diumumkan oleh pihak kementerian sebelum daripada ini. Dan ia juga harus menjadi titik tolak kepada semua pihak untuk terus menjaga persekitaran yang bersih dan sihat. Budaya salah menyalahkan dalam sesuatu tragedi amatlah tidak sihat dan tidak membawa manfaat walau sedikitpun.

Sekian.

Oleh : *YB Dato’ Panglima Perang Haji Mohd Nassuruddin bin Haji Daud*
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta
Ketua Penerangan PAS Kelantan

Sumber: https://www.facebook.com/mohdnassuruddin.hajidaud/posts/1426032707538174

(Visited 8 times, 1 visits today)

Add Comment