Friday, 31 March 2023
Menu

Kesan pelajar kandas di Mesir

KOTA BHARU – Kerajaan negeri dalam usaha mengesan pelajar Kelantan yang kandas selepas gagal menjelaskan yuran pengajian di universiti Mesir yang majoritinya mengambil jurusan perubatan, farmasi dan kimia.

Exco Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kebanyakan pelajar terbabit dihantar ke sana bukan melalui tajaan, sebaliknya mereka guna belanja sendiri.

“Mereka ini juga turut dijanjikan tajaan oleh pihak swasta jika dapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, namun akhirnya tidak terima apa-apa tajaan dan akhirnya kandas di tengah jalan.

“Kita beri bantuan ‘one off’ bagi membantu menyelesaikan masalah kewangan itu bermula setahun lalu,” katanya.

Fadzli berkata, daripada jumlah 14,000 pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di sana, separuh daripadanya merupakan pelajar Kelantan yang mengambil tiga jurusan itu dan memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

“Saya saran kepada ibu bapa, jika ingin hantar anak ke universiti di Mesir supaya jangan ambil risiko jika tidak dapat tajaan kerajaan.

“Ia bukan sahaja boleh merugikan masa pelajar itu sendiri belajar di sana, malah lebih malang turut terkandas dan dibuang pengajian disebabkan gagal menjelaskan yuran,” katanya.

Fadzli berkata, untuk mengatasi masalah itu pihaknya turut bekerjasama dengan universiti di Turki memandangkan perbelanjaan di sana (Turki) lebih murah berbanding di Mesir.

“Setakat ini 10 pelajar di Kelantan telah tersenarai dan akan dihantar ke tiga universiti terpilih di Turki yang telah diiktiraf di Malaysia.

“Kita harap dengan usaha ini dapat mengurangkan beban bukan sahaja kepada ibu bapa, malah pelajar itu sendiri yang mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi serta menjamin masa depan mereka,” katanya. [SINAR HARIAN]

(Visited 2 times, 1 visits today)

Add Comment