Kewujudan pawagam mesti beri manfaat kepada Islam

KOTA BHARU – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menegaskan kewujudan pawagam di negeri ini perlu memberi manfaat kepada rakyat dari sudut Islam.

“Sebarang cadangan untuk membuka panggung wayang di Kelantan mestilah memenuhi syarat utama yang antara lain bagi memastikan tidak berlakunya maksiat, berdua-duan dan menimbulkan suasana romantik.

“Syarat ini sebenarnya untuk mengelakkan perkara yang bercanggah dengan syarak seperti berdua-duan, duduk dalam gelap, suasana romantik ini semua tak perlu. Kita nak pawagam ini boleh membekalkan perkara baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serahan Memorandum Isu Pagawam di Kelantan oleh Pemuda Pas Negeri Kelantan di sini pejabatnya di Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Ahmad menjelaskan, terdapat syarikat yang sudah mendapatkan gambaran dari Kerajaan Negeri untuk tujuan membuka pawagam, namun setakat ini tiada permohonan rasmi dibuat.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari memaklumkan pihaknya bimbang mengenai hasrat membenarkan pembukaan pawagam di Kelantan.

“Pemuda merasakan kewujudan panggung wayang itu mendorong wujud perlanggaran syarat seterusnya boleh mengundang gejala sosial dan maksiat.

“Kita bagi pihak Dewan Pemuda Pas Kelantan melahirkan kebimbangan bahawa sekiranya pawagam ini di buka maka ia tidak dapat memenuhi kawalan enakmen hiburan,”katanya.

Menurut Ahmad Fadhli, pihaknya mengambil sikap menyatakan sokongan orang muda bahawa mereka tak perlukan pawagam di Kelantan dan mengharapkan Kerajaan Negeri bertegas dengan syarat yang ditetapkan.[SINAR HARIAN]

(Visited 4 times, 1 visits today)

Add Comment