KIAS KINI BERTARAF KOLEJ UNIVERSITI

oleh Che Maziah Mat

KUALA LUMPUR: Penantian hampir 10 tahun, akhirnya satu sejarah tercipta apabila Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Kelantan berjaya mendapat taraf Kolej Universiti serta telah menerima pengiktirafan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Sijil naik taraf KIAS kepada Kolej Universiti telah disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Seri Dr Noraini Ahmad kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Bin Dato’ Haji Hassan. Ucapan penghargaan dan tahniah daripada Kerajaan Kelantan dan seluruh rakyat dizahirkan oleh beliau dalam satu ucapan ringkas selesai majlis penyerahan tersebut.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Dr Noraini dan Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi, Professor Dato’ Dr Husaini Omar dan seluruh warga KPT. Juga ucapan tahniah buat Ketua Eksekutif KIAS, Prof Dr Abdul Aziz Mohd Zain dan seluruh warga pusat pengajian tersebut atas usaha keras bersama selama ini.
Pelbagai cabaran dan rintangan telah dilalui sepanjang tempoh 10 tahun berusaha untuk mencapai status kolej universiti ini. Sebelum ini kita juga sudah beberapa kali membuat pembentangan kepada KPT dan buktinya hari ini akhirnya kami dapat status itu” katanya ketika sidang media.

Untuk rekod, KIAS telah ditubuhkan di bawah Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta (1996) (Akta 555) dikendalikan KIAS Darul Naim Sdn Bhd (KDSB), anak syarikat Akademi Yakin Sdn Bhd. Penubuhan KIAS sebagai kesinambungan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) Nilam Puri yang ditubuhkan pada 1965. Pada ketika itu YPTIK menerima pelajar dari seluruh negara dan rantau nusantara termasuk Thailand sebelum melanjut pelajaran ke Universiti Al-Azhar di Mesir.

KIAS pada peringkat awal menawarkan tiga program pengajian iaitu Diploma Al-Syariah, Diploma Usuluddin dan Diploma Al-Dakwah Wal Qiadah. Sehingga kini, lebih 10 program diploma ditawarkan KIAS di samping program Ijazah Sarjana Muda dengan kerjasama beberapa universiti lain. Semua program yang ditawarkan KIAS diiktiraf Kerajaan Malaysia. Ketika ini terdapat sebanyak 93 buah sekolah agama yang berada di bawah seliaan kerajaan Kelantan. Pelajar-pelajar lepasan sekolah antara penyumbang utama kepada kemasukan di kolej ini selain terdapat juga pelajar luar dari Kelantan. Kini kolej universiti ini mempunyai kira-kira 1,800 pelajar dengan 18 kursus ditawarkan melibatkan dua pengajian peringkat ijazah, selain lima belas diploma dan satu sijil.- UPKN KELANTAN 1/04/2021

(Visited 32 times, 10 visits today)

Add Comment