KOTA BHARU: Harapan Kolej Islam Sultan Ismail Petra (Kias) tidak akan tercapai sekiranya syarat bagi mencapai status kolej universiti sering ditukar oleh Kementerian Pengajian Tinggi.
Exco Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Fadzli Hassan berkata, Kias sememang sudah memenuhi semua syarat yang ditetapkan, cuma status belum diperoleh.
“Kita sudah cukup syarat sejak tahun 2009 lagi, tetapi apabila kita cukup syarat, syarat itu dinaikkan menyebabkan kita sentiasa tidak cukup dan cita-cita itu tidak tercapai hingga kini,” katanya.Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup Persidangan Pendidikan Tinggi Kelantan yang diadakan di Hotel Grandriver View yang berlangsung selama tiga hari dua malam di sini.
Turut hadir pada majlis itu, tokoh pendidikan, Prof Emeritus Dr. Jamil Osman dan Pengarah Institut Latihan Perguruan Kelantan (ILPK), Yajid Yakob.
Menurutnya, Kias tidak mengunakan pintu belakang bagi mendapatkan status Kolej Universiti seperti yang pernah dilakukan oleh sesetengah kolej bagi mendapat pengiktirafan itu.
Fadzli berkata, Kelantan sudah mempunyai sebuah universitinya sendiri walaupun tidak mendapat status Kolej Universiti sebagaimana yang diimpikan oleh pengurusan Kias.
“Kita sudah ada model atau bekas iaitu Kias dan kita sedang mengkaji model yang dicadangkan oleh Datuk Jamil iaitu Universiti Islam Malaysia (UIA),” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 6/10/2016