TANAH MERAH – Usaha berterusan menghijaukan semula kawasan yang tamat diteroka untuk penghasilan batu menunjukkan komitmen tinggi syarikat kuari, Dimensi Timal Sdn Bhd dalam memulihara dan melestarikan alam sekitar.
Terkini, syarikat kuari yang beroperasi di di Hutan Simpan Jedok di Kampung Air Ralek, dekat sini, melancarkan program penanaman 1,000 pokok dengan kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Tan Kim Keah berkata, sebanyak 500 pokok akan ditanam di kawasan kuari, manakala 500 pokok lagi diagihkan kepada penduduk, sekolah dan masjid untuk ditanam.
“Usaha ini diharap dapat menangani isu keselamatan persekitaran untuk jangka masa panjang selain mengelakkan daripada sebarang persengketaan kejiranan.
“Kami juga amat berharap, kerajaan negeri dapat menguatkuasakan Zon Penampan dengan tegas bagi memastikan tidak ada sebarang aktiviti pembangunan atau perumahan dalam jarak 500 meter dari sempadan kilang kuari,” katanya.

Kim Keah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kuari Dimensi Timal Sdn Bhd dan Program Penanaman Pokok yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Alam Sekitar, Kesihatan dan NGO Kelantan, Dr Ramli Mamat, di sini, semalam.
Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Razali Abdul Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Perpaduan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah dan Ketua Jajahan Tanah Merah, Norazman Abdul Ghani.
Sempena majlis itu, syarikat terbabit turut menyumbangkan bantuan kewangan termasuk kepada sekolah, sumbangan 500 tan batu kuari kepada Persatuan Kelab Kebajikan Cahaya Mutiara (Kemuncak) dan 2,000 tan kepada kerajaan negeri.
Menurut Kim Keah, sebagai pengendali sektor kuari yang menghasilkan granit bermutu di negeri ini, syarikat itu memenuhi keperluan pelbagai jenis batu dalam merealisasikan pembangunan negeri berkaitan industri binaan dan infrastruktur.
Katanya, dengan keluasan 105 hektar yang mempunyai 500 juta meter padu rizab gunung batu, pihaknya bersedia dan mampu menawarkan bekalan berterusan agregat granit bermutu tinggi untuk pasaran dalam dan luar negara.
“Ini termasuk produk seperti 14milimeter (mm) ‘aggregates’, 20mm aggregates, batu ‘ballast’, 6”x9” blok dan ‘armoured’ blok,” katanya.
Kim Keah berkata, kedudukan strategik kuari itu antara Tanah Merah dan Jeli memudahkan hasil kuari berkenaan dieksport ke Thailand melalui Jambatan Muhibah, Jeli ke Buketa, Thailand.
“Jalinan ekonomi luar negara ini secara tidak langsung menjadi simbolik keunikan hubungan dua hala antara Kelantan dan Thailand. Usaha ini diharap dapat menjamin hubungan diplomatik lebih erat antara kedua-dua negara,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan supaya beberapa prosedur berkaitan pengeksportan granit ke Thailand dapat dipertimbangkan supaya proses penghantaran menerusi sempadan lebih ekonomik. [SINAR HARIAN]