Kompaun, tutup premis niaga kotor

KOTA BHARU: Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan dan ngo negeri, Dr Ramli Mamat berkata, Kelantan tiada rekod virus zika

KOTA BHARU – Kompaun dan penutupan premis perniagaan adalah langkah akhir dilakukan pihak berkuasa jika peniaga makanan dan minuman gagal menjaga kebersihan kedai dan bahan jualan semasa Ramadan nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan NGO Negeri Kelantan, Datuk Dr Ramli Mamat berkata, pelanggan juga diingatkan supaya bijak memilih gerai atau kedai yang menjual makanan pada bulan puasa.

“Kerajaan tiada pilihan sekiranya segala nasihat, syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkenaan gagal dipatuhi oleh mereka yang menjalankan aktiviti jualan di seluruh negeri.

“Kita memberi perhatian terhadap tempat tumpuan awam pada bulan puasa termasuk bazar Ramadan,” katanya.

 Terdahulu, Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Razin Ahmad Maher memberi amaran kepada pengendali makanan sempena Ramadan ini, yang mana kecuaian boleh mengakibatkan mereka dipenjara tidak melebihi dua tahun.

Dr Ramli berkata, sewajarnya masyarakat tidak memilih kedai yang tidak mencapai tahap penjagaan kebersihan seperti tidak menutup makanan yang dijual, gagal memakai apron hingga terdedah kepada lalat dan debu.

“Langkah tidak cakna ini boleh memberi pelbagai ancaman penyakit kepada pelanggan dan menyebabkan gejala seperti sakit perut, keracunan dan loya sehingga membawa maut.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) terpaksa menambah kekerapan operasi pembersihan dan kutipan sampah siang dan malam akibat peningkatan ketara buangan sisa pepejal yang dihasilkan oleh masyarakat,” katanya.

Kata Dr Ramli, sepatutnya Ramadan menjadi bulan mengajar masyarakat supaya lebih bersederhana dalam pengambilan makanan, elak pembaziran dan berkongsi rezeki  dengan mereka yang memerlukan sebagai tambahan pahala.

“Ikutilah segala saranan ditetapkan oleh PBT seperti buang sampah ikut jadual, memasukkan sampah yang diikat dalam plastik ke dalam tong dan sebagainya.

“Jangan apabila tiba musim perayaan, ada ahli keluarga kita terpaksa berhari raya di hospital akibat tidak menjaga kebersihan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa menghulur tangan untuk bersama mereka yang berkaitan bagi merealisasikan hasrat menjaga kesejahteraan hidup, cakna kesihatan dan peduli kelestarian alam sekitar.

“Kerajaan tidak seharusnya dipersalahkan sekiranya masyarakat tidak bersama mendokong hasrat murni ini,” katanya.- SINAR HARIAN 11 MEI 2017

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment