Konfedarasi NGO perantara kerajaan dan rakyat

JAWATANKUASA Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan NGO Negeri Kelantan satu-satunya portfolio yang tidak mempunyai agensi atau urusetia khusus yang menguruskan agenda di bawah jawatankuasa berkenaan.
Ia bergantung kuat kepada Badan-badan Bukan Kerajaan yang bergandingan menjayakan program berkaitan kesihatan, alam sekitar dan NGO sendiri.

Manakala mewujudkan hospital atau klinik bukannya tanggungjawab dan bidang kuasa Kerajaan Negeri dan negeri tiada kemampuan menyediakan prasarana seumpama itu.

Namun demikian mutakhir ini agensi dan jabatan Kerajaan Persekutuan yang berkaitan memberi kerjasama yang baik terutama dalam aspek penyaluran maklumat dan perbincangan melibatkan isu rakyat.

Sewaktu berucap merasmikan Makmal Sejahtera 2017, Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan NGO Negeri Kelantan, Dato Dr Ramli menekankan penglibatan secara maksima daripada Badan-badan Bukan Kerajaan dalam merealisasikan dasar dan aspirasi Kerajaan Negeri.

“Kerajaan sentiasa berdepan dengan pelbagai isu dan cabaran dalam usaha membangunkan negeri demi kesejahteraan rakyat.

“Justeru NGO sebagai pihak ketiga perlu terlibat secara aktif dan menyumbang ke arah menjadikan negeri ini benar-benar negeri yang berteraskan keberkatan, kemakmuram dan kebajikan,” katanya.

Kerajaan telah mengambil langkah menubuhkan suatu gabungan NGO yang dinamakan Konfederasi NGO Kelantan (KNK) yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan pada bulan Oktober 2016 lalu.

Sebarang NGO Kelantan yang bersama dengan aspirasi dan bersedia merealisasi dasar merakyatkan membangun bersama Islam Kerajaan Negeri Kelantan dialu-alukan bersama dalam konfederasi ini.

Makmal Sejahtera 2017 yang dikendalikan bersama dengan Unit Pemantauan dan Strategi Kerajaan Negeri Kelantan (SPARK) ini turut disertai oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan NGO Negeri Kelantan, Mohd Nazlan Mihamed Hasbullah dan wakil pelbagai NGO.

Modul mengenalpasti isu, masalah dan penambaikan agenda jawatankuasa berkenaan dikendali oleh Pengarah SPARK, Dr Nazmi Ghazali Azmi. – HARAKAHDAILY 21/1/2017

(Visited 10 times, 2 visits today)

Add Comment