Kongres Rakyat rumus isu semasa di Kelantan

KOTA BHARU: Kongres Rakyat yang menghimpunkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik akan bersidang 29 Disember ini bagi merumus pandangan untuk diketengah kepada kerajaan negeri.

Ketua Sekretariatnya Zulkifli Mamat berkata Kongres Rakyat menjadi medan untuk mendengar pandangan rakyat berkaitan isu-isu yang berlaku di Kelantan.

Katanya, rumusan Kongres Rakyat tersebut boleh menjadi panduan bertindak bagi kerajaan negeri.

“Dijangka seramai 700 perwakilan yang mewakili NGO, persatuan, kelab, badan sukarela dan parti politik menghadiri kongres tersebut,” katanya di sini.

Menurutnya pembentangan kertas kerja dan perbincangan kongres tersebut mencakupi bidang agama dan syariah, pendidikan, alam sekitar dan kesejahteraan, perumahan, sosial dan keselamatan.

Selain itu ekonomi dan kepenggunaan, kebudayaan dan pelancongan serta hak-hak rakyat.

Kongres tersebut akan diadakan di Kelantan Trend Centre (KTC) Kota Bharu bermula jam 8 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Zulkifli yang juga Pengarah Kongres Rakyat Kelantan berkata isu-isu yang akan dibahaskan pada kongres terbabit mengikut kluster ditetapkan.

Manakala hari ini berlangsung mini Kongres Rakyat di Dewan Teratai Kota Darulnaim bagi membincangkan draf usul Kongres Rakyat yang akan berlangsung Khamis hadapan.

Hadir sama anggota-anggota Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, wakil agensi kerajaan dan NGO. – HARAKAHDAILY 22/12/2016

(Visited 2 times, 1 visits today)

Add Comment