Monday, 27 March 2023
Menu

Kota Bharu paling lama tak hujan

screen-12.58.50[15.05.2016]KOTA BHARU – Jabatan Meteorologi merekodkan, sehingga 12 Mei lalu, Kota Bharu merupakan daerah paling lama tidak menerima hujan, iaitu kira-kira 40 hari.

Dalam tempoh itu, Kuala Krai pula pernah mencatatkan suhu panas maksimum sehingga 38.9 darjah celcius pada 12 April lalu, dan menurun kepada 38.5 pada keesokan harinya, serta semakin menurun dua hari kemudian dengan catatan 38 darjah celcius.

Bagaimanapun, pada 11 Mei lalu, Kelantan terutama daerah Kuala Krai sekali lagi merekodkan bacaan suhu tertinggi dalam negara dengan cacatan 38.0 darjah celcius sebelum mengalami sedikit penurunan keesokan harinya dengan catatan 37.7 darjah celsius.

Bahang panas berikutan fenomena El Nino serta ketiadaan hujan untuk tempoh yang panjang itu menyebabkan sebahagian sungai-sungai kecil dan sebilangan sungai utama di negeri ini mengalami penyusutan sumber air.

Keadaan ini cukup membimbangkan kerana ia memberi kesan langsung terhadap aktiviti harian penduduk, malah dalam masa sama turut mempengaruhi perkembangan kesihatan mereka.

Bagaimanapun hasil pelbagai usaha termasuk doa, solat istisqa yang berpanjangan dan proses pembenihan awan dilakukan sebelum ini, akhirnya semalam Kota Bharu menerima hujan di sebahagian besar lokasi di daerah ini.

Proses pembenihan awan yang dilakukan AF Jets Sdn Bhd sejak Ahad lalu bagi menggalakkan hujan berikutan kemarau teruk di Kelantan dilihat menampakkan hasilnya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AF Jets, Amrul Nizar Anuar, sehingga jam 5 petang semalam, kira-kira 90 peratus keberhasilan daripada proses pembenihan diperoleh apabila Labok, Machang, Kota Bharu, Lundang, Tanah Merah dan Pasir Pekan menerima hujan lebat hari ini (semalam).

“Bagaimanapun proses ubah suai awan ini adalah salah satu usaha dan ikhtiar kami untuk membantu menggalakkan penurunan hujan di Kelantan, dan apa yang berlaku akhir-akhir ini adalah dengan izin ALLAH SWT,” katanya.

Menurutnya, beberapa hari sebelum itu, Gua Musang, Kuala Krai, Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas turut menerima hujan dengan dua daerah di Kelantan Selatan itu merupakan penerima hujan paling awal iaitu pada Isnin lalu.

AF Jets Sdn Bhd bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk melakukan pembenihan awan sejak Ahad lalu bagi menggalakkan hujan di Kelantan berikutan fenomena El Nino yang melanda negara sejak Januari lalu.

Proses pembenihan awan dilakukan lebih sejam bagi satu sesi, secara membakar suar yang mengandungi garam selepas menerima isyarat daripada pakar meteorologi AF Jets.

Operasi itu turut diteruskan kelmarin, bermula jam 2 petang di sekitar Kota Bharu.

Orang awam, Samsiah Jaafar, 69, berkata, kemarau kali ini merupakan yang paling lama dialaminya sehingga hampir mengeringkan air periginya.

Menurutnya, banyak pokok kekeringan dan sebahagiannya mati, malah kesan sama turut dirasai manusia yang akan berada dalam keletihan dan tidak bertenaga akibat panas yang melampau.

Seorang lagi penduduk, Zainab Mahmud, 72, mengakui, tahap kepanasan yang dihadapi kini paling teruk dalam sejarah kemarau sebelum ini.

Zainab berkata, buktinya sebahagian besar sungai kecil di negeri ini, dan sebilangan sungai-sungai utama kering serta merekah berikutan masalah kekeringan tahap kritikal yang dialami.

Dalam pada itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau sebelum ini mendedahkan, kawasan-kawasan tengah Semenanjung Malaysia yang lain turut mencatatkan bacaan suhu maksimum iaitu melebihi 35 darjah celsius.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar minum lebih banyak air dan mengurangkan aktiviti luar sewaktu keadaan cuaca panas.

 -sinarharian
(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment