KOTA BHARU, TANAH MERAH CATAT BACAAN IPU TIDAK SIHAT

KOTA BHARU – Dua jajahan di Kelantan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.

Menerusi laman sesawang sistem pengurusan indeks pencemaran udara (APIMS), Kota Bharu direkodkan bacaan status kualiti udara tidak sihat IPU 85, manakala bagi Tanah Merah pula mencapai IPU 76 setakat pukul 9 pagi tadi.

Skala IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara yang baik, 51 ke 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 ke 300 (sangat tidak sihat) serta 300 dan ke atas (berbahaya).

Sementara itu, Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar memaklumkan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan memantau tren bacaan IPU di seluruh negara dari semasa ke semasa serta menjalankan rondaan operasi mencegah pembakaran terbuka secara harian.

Jelasnya, kebakaran di kawasan tanah gambut seperti di Bachok telah memberi kesan kepada status kualiti udara di kawasan berkenaan dan meningkatkan bacaan IPU di stesen kualiti udara yang berdekatan.

“Menurut Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara 5 tahun, atau kedua-duanya sekali,” tulisnya menerusi kenyataan rasmi.

Beliau menasihati orang ramai tidak melakukan pembakaran secara terbuka terutamanya di kawasan tapak pelupusan sampah bagi mengurangkan masalah kualiti udara tidak sihat di negara ini.

Ikuti berita dalam Buletin Darulnaim.

#ViraliyatBerita1ptg

Pautan

(Visited 10 times, 5 visits today)

Add Comment