Kuasa beli rumah tinggi

KOTA BHARU – Biarpun ekonomi negara kini berada di tahap tidak memberangsangkan, namun kuasa beli rumah di Kelantan sangat tinggi dan sentiasa mendapat sambutan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, berdasarkan Laporan Tahunan Pasaran Hartanah 2016,  Kelantan mencatatkan jual beli bernilai lebih RM600 juta dalam sektor perumahan dua tahun lalu.

“Kira-kira 90 peratus pembelinya adalah terdiri daripada penduduk tempatan dan sikit sahaja orang luar disebabkan undang-undang di negeri ini yang sangat ketat.

“Kelantan negeri pesat membangun, bukan sebagaimana tohmahan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya kepada media sempena Majlis Pecah Tanah Projek Perumah Bercampur Kota Jembal di sini kelmarin.

 Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail dan Pengerusi SPP Development Sdn Bhd, Datuk Hassan Mohamood.

Tambahnya, biar pun projek itu baru dilaksanakan majlis pecah tanah, namun ia telah mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 60 peratus projek fasa pertama berjaya dijual.

Dalam masa sama, menyentuh mengenai kemudahan perumahan di Kelantan juga, Abdul Fattah berkata, Kerajaan Kelantan yakin mampu menyiapkan 5,000 rumah mampu milik tahun  hadapan sebagaimana dijanjikan kepada rakyat.

Menurutnya, setakat ini lebih 2,000 rumah mampu milik berharga kurang RM130,000 telah berjaya disiapkan dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) bersama PKINK  antara pihak yang bertanggungjawab melaksanakannya.

Sementara itu, Wan Zawawi berkata, Projek Perumahan Bercampur Kota Jembal bernilai RM90 juta itu merupakan kerjasama antara PKINK dan SPP Development Sdn Bhd yang mana bakal memacu pembangunan di sekitar Kota Jembal-Tawang.

Projek itu melibatkan pembinaan 242 unit rumah di atas tanah seluas 12 hektar dalam Mukim Tok Ku dan Mesira di sini iaitu sempadan antara Kota Bharu dan Bachok.

Konsep perumahan bertemakan Luas, Selesa, Selamat itu bakal mengubah landskap pembangunan perumahan di sekitarnya dengan mementingkan keselesaan maksimum bakal pemiliknya.- SINAR HARIAN 14/9/2017

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment