Kumpul pesilat seluruh dunia

KOTA BHARU – Kerajaan negeri sasar 10,000 pengunjung sempena Festival Silat Antarabangsa kali ke tiga yang akan berlangsung pada 8 hingga 10 April ini sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2016.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata, penganjuran festival ini bagi menaikkan imej negeri dalam sektor pelancongan melalui perlaksanaan program berperingkat antarabangsa.

“Festival tiga hari ini bakal menyaksikan 415 pesilat tempatan dan luar negara seperti dari Thailand, Indonesia, Austria dan Brazil mempamerkan kemahiran mereka dalam ilmu pertahanan diri silat.

“Gimik promosi seperti perarakan pesilat mengelilingi bandar diiringi paluan muzik tradisional akan dilakukan bagi memperkenalkan pesilat kepada masyarakat sekitar,” katanya ketika sidang media khas sempena Festival Silat Antarabangsa kali ke tiga di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Waris, Dr Kamal Shah Abdullah.

Md Anizam berkata, di samping itu pertandingan Silat Jatuh juga diadakan pada malam terakhir festival tersebut.

Festival yang akan diadakan di Dewan Jubli Perak, Majlis Perbandaran Kota Bharu- Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) bermula pada pukul 10 pagi turut mendapat kerjasama Pertubuhan Gabungan Seni Silat Warisan Nusantara (WARIS).

“Saya yakin dengan penganjuran festival sebegini bakal menarik lebih ramai pelancong tambahan pula Kelantan sangat terkenal dengan kebudayaan Melayu yang cukup unik.

“Ini adalah usaha untuk capai sasaran enam juta pelancong ke Kelantan tahun ini. Bagi Januari 2015 kemasukan pelancong mencecah kira-kira 500,000 orang dah pada bulan yang sama tahun ini ada pertambahan 12,000 daripada jumlah tersebut,” katanya. [SINAR HARIAN]

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment