KOTA BHARU – Kurus lanjutan pra-perkahwinan perlu dianjurkan kepada pasangan muda yang baru berkahwin dan belum lagi berkahwin bagi meningkatkan tahap keimanan mereka dan mendidik anak-anak supaya terus berada dalam landasan Islam dan tidak jauh tersasar.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, pendedahan seumpama ini perlu bagi memastikan golongan muda dapat dibimbing selepas perkahwinan dan dapat membina keluarga serta melahirkan anak-anak yang sentiasa mengenal ALLAH SWT dan tidak terjebak dalam masalah sosial.
“Ini perlu memandangkan sebelum ini pasangan yang hendak berkahwin dan juga belum berkahwin hanya didedahkan dengan kurus perkahwinan selama sehari.
“Perkara ini masih belum cukup dan perlu ada kursus lanjutan kepada pasangan muda dalam membina rumah tangga yang bahagia dengan didikan agama dan ilmu kekeluargaan yang mendalam,” katanya kepada media di pejabatnya di Lundang di sini.Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kejadian beberapa kejadian buang bayi di negeri ini dan terbaru kelmarin, janin bayi yang dibuang dalam saluran tangki kumbahan di sebuah hospital di sini semalam.
Mohamad menambah, salah satu sebab mengapa masyarakat kini mudah terjebak dalam gejala sosial memandangkan perubahan yang berlaku dalam era teknologi dan maklumat begitu pantas diperoleh tanpa batasan.
“Perubahan inilah yang menggelisahkan masyarakat walaupun masih ada baiknya namun ia menimbulkan gejala negatif apabila laman sosial menjadi medan utama untuk berhubung tidak mengira sempadan.
“Jika kita lihat sejak kebelakangan ini gejala buang bayi sering menjadi tajuk utama di akhbar dan diperkatakan di negeri ini disebabkan manusia mula tidak kenal diri sendiri dan tidak kenal dengan tuhan, maka mereka secara terang-terangan melakukan perkara yang dimurkai-Nya,” katanya.
Mohamad berkata, perkara ini perlu diberi perhatian sewajarnya agar golongan muda tidak terus hanyut dalam kancah sosial yang merosakkan masyarakat Islam itu sendiri.
“Oleh itu kerjasama dari semua pihak termasuk kerajaan, masyarakat dari pelbagai golongan perlu dalam usaha memantapkan ilmu kerohanian dalam diri golongan belia agar terus mengenal ALLAH SWT.- SINAR HARIAN 17 OKTOBER 2016