Kutipam tabung masjid RM30,000 sebulan

screen-13.17.40[15.05.2016]KOTA BHARU – Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian menjadi masjid paling banyak kutipan tabung biasanya dari RM25,000 hingga RM30,000 sebulan, berikutan anak mukim yang suka menyumbang.

Imam Tua masjid tersebut, Sabri Abdullah berkata, lima tabung disediakan termasuk satu di tempat solat perempuan yang diletakkan secara statik, namun jumlah tabungan sentiasa penuh.

“Masjid di bawah jagaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) ini sentiasa mempunyai jemaah terutama penduduk elit sekitar iaitu kira-kira 600 orang hingga 700 orang setiap kali solat.

“Dalam seminggu, secara purata, kutipan diperoleh antara RM8,000 hingga RM9,000 seminggu menjadikannya sebulan RM25,000, malah pada malam Jumaat, biasanya RM3,000 didapati dari sumbangan tabung,” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan.

Sabri berkata, biasanya kutipan dibuat setiap waktu dan dihimpunkan terlebih dahulu, malah jika ada kegunaan, ia terus digunakan, contohnya pembinaan wakaf di sekeliling masjid dan penambahan tandas.

Kata beliau, antara kegunaan sumbangan tabung di masjid itu termasuk pihaknya mengadakan program bengkel pengajian agama kepada anak mukim, kuliah Maghrib dan Subuh, kelas bahasa Arab, pengajian taranum, kelas pengajian hadis dan kelas pengajian agama khas untuk wanita.

“Selain itu, pihak masjid juga memberi tumpuan terhadap remaja dengan mendedahkan mereka menyertai kerja khidmat masyarakat termasuk bagi program kebersihan bandar.

“Laporan mengenai tabung dibuat dan dipantau oleh Ketua Pegawai Agama Maik dan pemberian sumbangan tabung dilakukan atas kesedaran anak mukim sendiri, malah setiap bulan kita mengadakan program sembelih lembu,” katanya.

Katanya, pihak masjid juga turut memberikan sumbangan kepada fakir miskin yang meminta sumbangan beras secara langsung dan turut menghulurkan wang bagi mereka yang kesuntukan kewangan.

“Masjid ini juga menjadi tempat persinggahan ulama dari luar negara termasuk dari Yaman dan Patani, malah kita mempunyai program dengan beberapa negara dalam usaha berkongsi idea serta ilmu yang mereka ada,” katanya.

-sinarharian

(Visited 12 times, 2 visits today)

Add Comment