Lambaian Kaabah: Bas masuk kawasan parkir pesawat

PANGGILAN haji, lagu nyanyian Nasida Ria di Era 1980-an masih segar sehingga sekarang. Perginya Syawal dan datangnya Zulkaedah bermakna bermulanya bulan haji.

Bagi mereka yang disenaraikan sebagai bakal haji bagi musim ini, ada antaranya sudah bertolak ke Madinah. Kelmarin seramai 483 jemaah haji kumpulan pertama dikhabarkan tiba di Madinah.

Tahun ini seramai 30,200 rakyat Malaysia disenarai bagi mengerjakan musim 1438. Jumlah itu jauh lebih ramai berbanding musim lepas seramai 22,320 orang.

Mengikut kelaziman kuota jemaah haji Malaysia sebelum kerja-kerja pembesaran Masjidil Haram iaitu 28,000 orang.

Namun, tahun ini agak luar biasa apabila Malaysia diberi kuota tambahan sebanyak 2,200 orang. Alhamdulillah, ramai yang bernasib baik selepas begitu lama menunggu.

Setidak-tidaknya dapat mengurangkan senarai menunggu yang mencapai angka  lebih 1.8 juta, yang berdaftar dengan Lembaga Tabung Haji.

Lebih menyedihkan lagi di antara senarai menunggu itu ramai yang berusia lebih 75 tahun. Senarai menunggu itu dipintas pula oleh bakal haji yang mendapat anugerah percuma menunaikan Rukun Islam kelima itu melalui Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MBD).

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan imam dipilih menyertai program itu. JKKK kalau di Kelantan semuanya pemimpin Umno di peringkat cawangan.

Pada tahun pertama 2011 seramai 111 mendapat peluang menunai haji secara percuma. Pada 2012 bertambah pula kepada 400 orang.

Seramai 800 lagi pada 2013; 1,000 (2014) dan 1,200 (2015). Dan jumlah 1,200 juga kekal pada musim ini.

Kalau diambil kira daripada jumlah 30,200 yang disenarai tahun ini hanya 29,000 daripada senarai yang menunggu sejak 10 tahun lepas dapat menunaikan haji.

Jumlah 29,000 itu pun belum ditolak lagi kuota yang dimiliki menteri dan istana. Biar apa pun penulis merakam tahniah kepada bakal jemaah haji musim ini.

Pengalaman dilalui penulis tahun lepas masih lagi segar dalam ingatan.

Jejak pertama bagi jemaah haji dari Kelantan, berkumpul di Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petra di Panji, Pengkalan Chepa.

Kawasan itu penuh sesak dengan keluarga yang datang menghantar bakal haji. Kenderaan di parkir di sepanjang laluan ke kompleks tersebut.

Kenderaan yang membawa bakal haji dibenarkan masuk mendekati dewan. Tiada lagi ruang kosong di kompleks tersebut.

Malah ramai yang datang menghantar tiba lebih awal lagi. Selepas mendaftar masuk di hadapan dewan, bakal haji diberi gelang besi yang tertera nama dan dokumentasi berkaitan.

Bakal haji tidak lagi dibenarkan dari dewan biar pun ramai keluarga menunggu di luar.

Bermula di situ bakal-bakal haji mulai berkenalan sesama mereka. Semuanya tinggal di Kelantan kecuali beberapa orang yang datang dari Besut.

Pengenalan itu cukup penting kerana penerbangan ke KLIA dan Madinah dalam kumpulan sama. Di detik itu penulis mengenali ramai kenalan bakal haji.

Menunggu dalam dewan sambil menjamah hidangan disediakan. Makan malam disediakan di bahagian luar dewan. Bagi bakal haji yang belum makan tidak perlu runsing, makanan disediakan.

Lama juga menunggu dalam dewan sehingga menghampiri tengah malam. Keluarga yang datang menghantar tidak boleh lagi ditemui. Hanya doa dipanjatkan agar semuanya selamat.

Selepas taklimat disampaikan petugas Tabung Haji jemaah beratur untuk menaiki bas khas yang disediakan.

Di saat itulah jemaah haji berpeluang melihat keluarga buat kali akhir sebelum bas khas bergerak ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Deretan bas yang membawa bakal haji diiringi polis trafik. Perjalanan begitu lancar melalui Panchor, kawasan perindustrian, Kampung Parang Puting dan terus ke lapangan terbang.

Bas memasuki kawasan parkir pesawat. Pesawat khas Malaysia Airlines sudah menunggu di situ.

(ikuti episod kedua nanti)

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook0Share on Google+0Tweet about this on TwitterPrint this page

Add Comment