Langkah proaktif tangani tanah runtuh

KOTA BHARU: Kerajaan negeri mengambil langkah proaktif bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh di Jajahan Kecil Lojing.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Ustaz Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata, pemantauan sentiasa dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Katanya, hasil pemantauan itu kejadian tanah runtuh di kawasan terbabit semakin berkurangan sekarang.

“JAS melakukan pemantauan secara berterusan bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh di kawasan pertanian tanah tinggi di Lojing. Malah pemantauan terus dipertingkat lagi dengan kerjasama jabatan dan agensi lain,” katanya di sini.

Beliau juga berkata, Kumpulan Pertanian Kelantan Bhd (KPKB) merintis projek pertanian tanah tinggi yang mengutamakan kelestarian alam sekitar.

Menurutnya projek nukleus Lojing di bawah agensi terbabit diiktiraf JAS bagi kawalan alam sekitar untuk memastikan sungai lebih lestari.

KPKB merupakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan memiliki tanah di Lojing, yang diusahakan syarikat swasta bagi penanaman sayur- sayuran.

Tuan Saripudin juga berkata, Kelantan memberi tumpuan bagi menghasilkan baja organik melalui pengurusan sisa pepejal.

Selain itu katanya, cadangan untuk mewujudkan kilang memproses makanan haiwan di Kelantan akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.

“Usaha- usaha tersebut merupakan pelan tindakan kerajaan negeri bagi menjadikan Kelantan sebagai jelapan makanan negara.

“Gerakan itu digembleng melalui kempen. Sebab itulah penanaman tembakau diganti dengan tanaman lain termasuk cili dan tembikai,” ujarnya.

Beliau juga berkata, Gong Datok di Pasir Puteh akan dijadikan kawasan agro pelancongan bagi menjana hasil ekonomi penduduk tempatan.

Kata beliau kawasan seluas 150 ekar di Gong Datuk akan menjadi projek perintis di bawah Kelantan Biotech Corporation.

Ia akan dibangunkan sebagai pusat penternakan, penyelidikan, rekreasi dan pusat hasil jualan pertanian– HARAKAH 15/11/2018

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Share on Google+
Google+
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment