Lapangan terbang: Harap titah sultan jadi kenyataan

KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah berkata berdasarkan kepada latar belakang penerima anugerah Kehormatan Negeri Kelantan Tahun 2015, bukan dari kalangan orang politik dan ahli akademik sahaja, bahkan mereka terdiri dari kalangan ahli perniagaan dan tokoh-tokoh masyarakat.

“Ini menunjukkan kecaknaan tuanku, dengan mengambil kira semua lapisan masyarakat dan sumbangan mereka kepada rakyat dan negeri,” katanya, ditemui selepas istiadat penganugerahan Kehormatan Negeri di Istana Balai Besar di sini petang semalam.

“Selain itu, tuanku prihatin dan peka dengan perkembangan dan pentadbiran kerajaan negeri,’’ katanya.

Beliau adalah antara penerima Anugerah Kehormatan Negeri Kelantan Tahun 2015 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kelantan Sultan Muhamamad V ke-46.

Pada istiadat penzahiran anugerah tersebut, beliau dianugerah Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia, S.J.M.K.

Beliau menyifatkan titah Sultan Muhammad V pada istiadat penganugerahan itu adalah satu ucapan yang baik.

“Cadangan kerajaan negeri, contohnya, pembesaran ‘airport’ disentuh tuanku. Ini kerana cadangan pembesaran dan penaiktarafan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu itu terlalu lama.

“Cadangan-cadangan berkenaan diangkat kepada Kerajaan Persekutuan dan sekarang ini baru nampak hendak menjadi kenyataan.

“Jadi kita harap, dengan titah tuanku ni, pihak Persekutuan akan dapat mempercepatkan projek yang telah dinyatakan itu,” ujarnya.

Beliau melahirkan kesyukuran kepada Allah swt dan menjunjung kasih kepada Tuanku Al-Sultan atas penganugerahan Darjah Kebesaran Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) itu.

“Mudah-mudahan Allah swt memberi rahmat dan kekuatan untuk meneruskan agenda Membangun Bersama Islam di negeri Kelantan ini, insya Allah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/11/2015

(Visited 7 times, 4 visits today)

Add Comment