LAWATAN RASMI YB MENTERI EKONOMI BAWA KEPENTINGAN PADA RAKYAT KELANTAN

Oleh Che Maziah Mat

KOTA DARULNAIM – Aspirasi kerajaan untuk melihat semua negeri atau wilayah berkembang pesat dalam arus pembangunan boleh dijadikan satu usaha murni terutamanya bagi negeri Kelantan. Rentetan itu, sebanyak empat kertas kerja berjaya dibentangkan yang kini di dalam proses pertimbangan untuk melihat pembangunan negeri Kelantan akan terus dibangunkan secara mampan, selaras dengan gagasan kemakmuran bersama.

Hal tersebut telah disuarakan oleh YB. Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTng) dalam lawatan kerja sehari beliau ke Kelantan. Mesyuarat bersama YAB Ustaz Dato’ Menteri Besar Hj. Ahmad Yakob bersama pimpinan bertempat di Bilik Gerakan Negeri.

Ketika lawatan kerja kali kedua, selepas Mac lepas, beliau memaklumkan tentang Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) fasa pertama bagi menangani masalah banjir di negeri Kelantan saban tahun. Projek dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) ini telah 19% siap dan menelan perbelanjaan RM458 juta dan diharap mengikut jadual.

Projek Empangan Lebir bagi tujuan pengurusan sumber air turut diperjelaskan sebagai sumber minuman dan bekalan domestik bagi menjana bekalan elektrik. Elemen PLSB di hulu sungai Kelantan ini menelan kos RM3.5 bilion meliputi kos pengambilan tanah dan sebagainya. Kerajaan Negeri merasakan pembangunan di hulu Kelantan ini perlu diberi keutamaan, walaupun projek empangan Lebir ini asalnya telah dimasukkan dalam RMK-13 sebagai sebahagian daripada PLSB iaitu dalam fasa yang ketiga.

Projek ini perlu diuruskan segera demi mengelak banjir besar yang boleh menjejaskan ekonomi negeri terutamanya kepada Lembaga Kemajuan Petani Kemubu (KADA) yang bergantung sepenuhnya kepada saluran air sungai Kelantan bagi kegiatan pesawah-pesawah padi yang musnah akibat banjir dan hujan yang lebat, serta musim kemarau yang panjang.

Suruhanjaya Tenaga telah memohon menyemak semula Projek Hidroelektrik di Nenggiri dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang membiayai sepenuhnya akan mengemukakan semua maklum balas kepada Suruhanjaya Tenaga untuk pertimbangan berdasarkan beberapa kajian dan penelitian seperti yang diarahkan sesuai dengan matlamatnya untuk melihat perkembangan dan kesan jangka panjang projek hidro dalam negara kepada pengguna.

Projek terakhir adalah masalah yang dihadapi oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) iaitu projek Skim Bekalan Air Merbau Pulau Condong, Machang. Projek ini tergendala sementara kerana terdapat skop dan kos yang perlu diberikan kepada AKSB. Perbelanjaan sebanyak RM14.5 juta berbanding kos asalnya RM113 juta. Kementerian bersedia menimbangkan cadangan tersebut dengan memenuhi syarat Kementerian Sumber Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) serta laporan audit kepada KATS supaya jabatan atau agensi mematuhi prosedur dan tatacara kewangan pada masa akan datang.

Dalam hal yang berkaitan, YB. Menteri memberi komitmen terhadap kemajuan lima projek utama yang diumumkan sebelum ini selain jaminan status pembayaran royalti minyak akan dipermudahkan selepas Kerajaan Negeri menarik balik saman. Kerajaan Negeri mengucapkan jutaan terima kasih diatas komitmen YB. Menteri dan berharap semua projek dan perancangan berjalan lancar demi pembangunan ekonomi rakyat negeri Kelantan.

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment