KOTA BHARU: Kawasan hutan simpan kekal (HSK) seluas 37,050 ekar (15,000 hektar) diklasifikasikan sebagai hutan perlindungan untuk kawasan rayau masyarakat Orang Asal di Kelantan.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Datuk Zahari Ibrahim mengatakan bahawa hutan perlindungan disediakan bagi membolehkan penduduk terbabit mencari rezeki.
Oleh itu, kerajaan negeri meminta Jabatan Perhutanan menyegerakan proses pewartaan kawasan Pos Gob di bawah Seksyen 62, Kanun Tanah Negara 1965.
“Kerajaan negeri membuat beberapa ketetapan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk Orang Asal di kawasan tertentu.
“Selain itu, Syarikat Kumpulan Perkayuan Kelantan turut diminta mengenal pasti kaedah pembinaan tandak air disalurkan kepada perkampungan Orang Asal berhampiran kawasan lesen permbalakan,” katanya di sini.
Pada 29 November lepas, polis menahan 47 Orang Asal apabila enggan merobohkan sekatan laluan lori balak yang dibina Simpang Petei dan Kampung Peralong, Pos Bihai.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 32, Seksyen 47 dan Seksyen 81 Enakmen Perhutanan Negara 1984 kerana menduduki dan memasuki kawasan hutan simpan tanpa kebenaran.
Kumpulan Orang Asal terbabit sebelum ini mendakwa aktiviti pembalakan menyebabkan kawasan mereka terjejas.
Zahari juga berkata aktiviti pembalakan akan diteruskan di kawasan terlibat dengan memperketatkan peraturan sedia ada dan mesra alam.
Kata beliau hasil kayu-kayan merupakan salah satu hasil utama kerajaan negeri yang dimanfaatkan untuk program pembangunan Kelantan.
Menurutnya juga Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah melaksanakan pelbagai program dan projek yang melibatkan pembangunan masyarakat Orang Asal.
Beliau juga memberitahu bahawa pihaknya mendapat maklumat segelintir Orang Asal di Hutan Simpan Balah membina semula pondok-pondok yang diroboh Jabatan Perhutanan 19 November lepas.
“Kami menegaskan pembinaan semula pondok-pondok di kawasan Hutan Simpan Balah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 32, Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) Negeri Kelantan, 1984.
“Jabatan Perhutanan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas kesalahan tersebut,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/12/2016