Lemas: Operasi mencari dua remaja dipergiat

webmaster

PASIR PUTEH – Operasi mencari dan menyelamat dua remaja yang dilaporkan hilang ketika mandi di Pantai Tok Bali di sini sejak Ahad lepas, terus dipergiatkan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 10 (D10) Tok Bali, Kapten Nurul Hizam Zakaria berkata operasi yang masuk hari ketiga hari ini, melibatkan lebih 140 anggota pelbagai jabatan termasuk APMM, polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

“Antara aset yang digunakan ialah sebuah kapal, enam buah bot dan dua jetski,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Dalam kejadian pukul 4.13 petang itu, dua remaja dikenali sebagai Ahmad Haziem Anizam, 14, dan rakannya, Amir Azfa Rafar, 13, masing-masing dari Selising di sini, dikhuatiri lemas ketika sedang mandi di Pantai Tok Bali.

Dua rakan mereka Muhammad Firdaus Mustafa, 16, dari Kampung Taweh, Gaal di sini, dan Amir Shahir Zakima, 13, dari Kampung Nering di sini, sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai.

Kesemua mereka datang ke pantai itu untuk berkelah dan mandi-manda sebelum kejadian itu berlaku berikutan ombak besar.

Nurul Hizam berkata walaupun keadaan laut masih bergelora, operasi tetap diteruskan membabitkan pencarian lebih tiga batu nautika dari pantai Tok Bali dan pemantauan di pesisir pantai Pasir Puteh, Bachok dan Kuala Besut, Terengganu.

Katanya sejak dua hari lepas, pelbagai kaedah dilakukan oleh pasukan keselamatan termasuk menggunakan pukat di kawasan berhampiran pantai tetapi kedua-dua remaja berkenaan masih belum ditemui.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati keluarga kedua-dua mangsa masih menunggu di bawah khemah khas yang disediakan oleh pasukan keselamatan.

Bapa kepada Amir Azfa, Rafar Mamat, 53, berharap anak dan rakannya itu segera ditemui.

“Kejadian itu sangat mengejutkan dan memilukan memandangkan saya berada jauh di Songkhla (Thailand) mencari rezeki,” katanya yang bekerja dengan sebuah syarikat petroleum. – Bernama

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

Kongres Rakyat Kelantan semarak suara rakyat

MELABUHKAN kalendar tirai 2016, semarak Kongres Rakyat terus dihangatkan. Negeri Tanah Serendah Sikebun Bunga menjadi medan akhir Kongres Rakyat bagi pusingan ini. Sebagaimana telah dimulakan di peringkat nasional Oktober 2015, pelbagai isu-isu rakyat telah diketengahkan melalui Kongres Rakyat. Demikian pula, isu yang menyentuh kepentingan orang kurang upaya “OKU”, wanita, keluarga, […]

Subscribe US Now