oleh Norzana Razaly
Aral melintang tidak memilih lokasi dan masa. Malang juga tidak dipinta dan tidak mengenal sesiapa.
Saudara kita di Lubnan berdepan ujian letupan kuat menggegarkan Beirut pada Selasa, 4 Ogos lalu, mengakibatkan 73 orang terbunuh dan 3,700 rakyat tercedera.
Tragedi berlaku sekitar pukul 6 petang (waktu tempatan) di pelabuhan dan memusnahkan kawasan berhampiran. Kesannya tempias ke bangunan lain pada jarak beberapa kilometer dari lokasi asal.
Bayangkan kita, saudara-mara atau sahabat handai berada di tempat mangsa yang amat memerlukan bantuan khas terutamanya ubat-ubatan, kediaman, susu bayi, makanan dan kemudahan ambulan, tentunya pertolongan berupa doa dan sumbangan wang sangat bermanfaat buat mereka pada ketika ini.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Kelantan yang sentiasa peka dan prihatin terhadap kebajikan rakyat tempatan dan umat sejagat secara rasminya melalui ucapan Speaker Dewan Undangan Negeri telah melahirkan simpati dan bersedia melancarkan kutipan derma dengan sasaran minimum RM400,000 untuk disalurkan segera kepada Sekretariat Malaysia Aid4Labenon.
Bagi mencapai maksud tersebut, Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri Kelantan (UPKN) dengan kerjasama
Sekretariat Malaysia Aid4Labenon dan Cakna Palestin berbesar hati mengundang khas seluruh rakyat Kelantan bersama-sama bersolat hajat dan bermunajat ke hadrat Allah SWT memohon kesejahteraan kepada rakyat Lubnan pada malam ini 25 Ogos, pukul 8 malam di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK).
Luahkan simpati dan empati kita selaku rakyat Kelantan yang cakna kebajikan sesama manusia dengan menghulur sedekah jariah berserta hadir memenuhi saf jemaah pada awal waktu Maghrib malam ini bersama sejadah masing-masing.
Semoga derma dan seraup doa tulus yang kita aminkan di Tanah Serambi Mekah Kelantan Darul Naim menjadi asbab keringanan derita mangsa bencana di bumi anbiya. Sekali gus menyelamat-sejahterakan Kelantan daripada segala mala petaka. Allahumma Amin.
#SimpatiKelantanTerhadapLubnan
#KelantanCaknaKebajikanRakyatdanUmatSejagat
#AllahPeliharaKelantanDarulNaim