Maahad Sains Tok Guru siap 2016

tech

KOTA BHARU – Kerajaan negeri memperuntukkan RM12.4 juta bagi menubuhkan Maahad Sains Tok Guru menerusi Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Pengkalan Chepa yang dijangka siap pada 2016.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sekolah aliran sains itu adalah yang ke-10 di negeri ini.

“Maahad ini berkonsepkan asrama penuh dan menyediakan pelbagai kemudahan lengkap untuk keselesaan, antaranya bangunan sekolah, dewan serba guna, makmal, masjid, rumah guru serta taman mini.

“Ia dijangka beroperasi pada 2016 dengan pengambilan 300 pelajar pertama yang terpilih,” katanya kepada media selepas Majlis Peletakan Batu Asas Kompleks Maahad Sains Tok Guru, Pengkalan Chepa, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Pengarah YIK, Tengku Azmi Tengku Jaafar.

Mohamed Fadzli berkata, maahad seluas 4.8 hektar itu akan dikendalikan YIK sebagai institusi yang diamanahkan kerajaan negeri bagi menjalankan aktiviti pendidikan Islam dan pengajian bahasa Arab.

“YIK mempunyai 18 sekolah maahad kerajaan, 45 sekolah agama bantuan (SMU Arab), 20 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), lima maahad tahfiz dan masing-masing satu pusat pengajian pondok dan Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman serta dua lagi Tadika Islam di seluruh negeri.

“Idea menubuhkan maahad ini dilakukan Bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sejak 1996 dengan mempelopori kelas sains di sekolah YIK termasuk di Maahad Muhammadi Lelaki dan Perempuan di Kota Bharu,” katanya.

Beliau berkata, YIK terus mengambil langkah proaktif mengembangkan aliran sain di sekolah lain termasuk pada 2001 di Maktab Pengajian Islam, Maahad Muhammadi Pasir Mas, Maahad Amir Indera Petra Bachok dan Maahad Muhammadi Tumpat.

“Ia diikuti pada 2003, YIK menubuhkan Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman (2008), Maahad Muhammadi Gua Musang (2009), Maahad Rahmaniah Kuala Krai (2011) dan 2014 ini, Maahad Ahmadi Tanah Merah,” katanya.

Katanya, kewujudan maahad aliran sains tulen berkenaan dijangka bakal melahirkan lebih ramai tokoh sains berjiwa Islam yang mampu berada di hadapan dalam menyahut cabaran dunia globalisasi.

Sumber: Sinar Harian

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

27 kes maut kemalangan berkaitan elektrik

KOTA BHARU – Sejumlah 64 kemalangan membabitkan elektrik dengan 27 kes maut dicatatkan di seluruh negara tahun lepas, kata Pengurus Besar Bahagian Penghantaran Tenaga Nasional Berhad (TNB), Abdul Rahim Omar. Beliau berkata, antara punca utama yang dikenal pasti adalah pemasangan dan penyelenggaraan tidak mematuhi prosedur kerja yang selamat, dengan 18 […]

Subscribe US Now