KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) mengadakan kerjasama dengan 1,180 imam dari seluruh masjid di negeri ini untuk mencari golongan lapan asnaf.
Timbalan Yang Dipertuanya, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata, bilangan itu membabitkan imam muda dan tua dari 590 masjid di negeri ini.
“Maik mempunyai enam pegawai penyiasat zakat sedia ada dan imam-imam ini akan bekerjasama dengan pegawai penyiasat yang dilantik dalam usaha membantu asnaf.
“Sebelum ini, golongan anak yatim, miskin, serta ibu tunggal datang ke pejabat Maik untuk meminta bantuan zakat. Saya percaya, dengan kerjasama daripada imam seluruh negeri dapat membantu golongan ini yang menjaga maruah dan segan untuk tampil meminta bantuan zakat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Zakat daripada Koperasi Co-Opbank Persatuan Malaysia Berhad, di sini, hari ini.
Pada program berkenaan, Nik Mohd Azlan yang turut menerima zakat perniagaan daripada Naib Pengerusi Co-Opbank Persatuan, Omar Mat Som berjumlah RM22, 321 berkata, sehingga kini Maik sudah membelanjakan hampir RM150 juta pada tahun ini untuk kegunaan golongan lapan asnaf.
“Daripada jumlah itu, perbelanjaan untuk fakir miskin adalah yang paling tinggi membabitkan perbelanjaan sebanyak RM96 juta, manakala untuk penuntut miskin yang melanjutkan pengajian ke luar negara sebanyak RM34 juta dan asnaf mualaf sebanyak RM1.4 juta,” katanya.
Sementara itu, Omar berkata, zakat perniagaan yang diserahkan itu adalah bagi tempoh kewangan berakhir Disember 2015.