KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) sentiasa memperkasakan langkah pemantauan terhadap lebih 1,000 pelajar tajaannya di Timur Tengah bagi memastikan mereka tidak terlibat aktiviti kumpulan militan IS.
Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata, antara langkah yang diambil termasuklah bekerjasama dengan pegawai Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang ditugaskan untuk menyelia pelajar di sana.
“Setakat ini kami tidak menerima laporan berhubung penglibatan pelajar tajaan Maik dalam aktiviti kumpulan militan Daesh di Timur Tengah.
“Kami juga tidak menerima sebarang laporan menyatakan ada pihak yang cuba merekrut pelajar tajaan Maik dengan anasir tidak sihat itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) di Pejabat Maik, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Ketua Pejabat Wilayah Pantai Timur PUNB Damaiyanti Mohd Nawi menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM80,000 kepada Maik.
Nik Mohd Azlan berkata pihaknya juga sering mengadakan pertemuan dengan pelajar tajaan Maik dan mengadakan penerangan berhubung kegiatan negatif kumpulan militan berkenaan.
Selain itu, beliau berkata pihaknya turut memantau pelajar yang telah menamatkan pengajian dari Timur Tengah, membabitkan sektor pekerjaan pelajar tersebut bagi memastikan mereka bersih daripada aktiviti militan.
Dalam perkembangan lain Nik Mohd Azlan berkata Maik menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM170 juta pada tahun ini berbanding RM162 juta pada tahun lepas.
Beliau berkata sehingga Jun, kutipan zakat telah mencecah RM65 juta dan berharap agar pembayar zakat memberi kepercayaan kepada agensi berkenaan dalam menyediakan perkhidmatan pungutan dan pengagihan zakat. – Bernama