Maik sumbang RM1 juta pulih sekolah

tech

KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) memperuntukkan kira-kira RM1 juta bagi membantu membaik pulih sekolah di negeri ini yang terjejas akibat banjir luar biasa yang berlaku Disember tahun lepas.

Timbalan Yang Dipertua Maik, Datuk Serpudin Mohamad berkata, bantuan itu merupakan sebahagian daripada RM32 juta yang diperuntukan Maik sebelum ini, dalam usaha membantu mangsa banjir di Kelantan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, kira-kira RM1 juta diperuntukkan kepada sekolah dalam bentuk bantuan fizikal terutama bagi membiayai keperluan peralatan pembelajaran yang rosak selain sumbangan wang tunai kepada pelajar.

“Hari ini Maik menyerahkan RM200,000 lagi kepada empat buah sekolah yang terjejas banjir di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek bantuan banjir kepada empat buah sekolah di sini, hari ini.

Empat sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan Kuala Geris, Kuala Krai; Sekolah Menengah Ugama (SMU) Al-Ihsan Dalam Pondok, Tanah Merah; SMU Nurul Ihsan Kandek, Dabong; dan Maahad Muhammadi, Gua Musang yang masing-masing menerima RM50,000.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Kelantan Hussain Awang dan Pengarah Yayasan Islam Kelantan Tengku Ab Rahman Tuan Yunus.

Serpudin berkata sebelum ini, sejumlah RM450,000 telah diserahkan kepada 21 buah sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan selain RM100,000 kepada Jabatan
Pendidikan Kelantan.

Beliau berkata, kebanyakan bantuan diserahkan kepada sekolah YIK memandangkan sumber kewangan sekolah terbabit agak terhad.

Wang zakat bernilai RM32 juta itu diperkenankan Yang Dipertua Maik, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra Disember tahun lepas bagi membantu meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir.

Jumlah itu termasuk bantuan ‘one-off’ sebanyak RM10 juta, membina dan membaiki rumah RM12 juta, perubatan RM2 juta, tabung bencana negeri RM2 juta,
membaiki masjid RM5 juta dan perbelanjaan pelbagai RM1 juta.

Sementara itu, Serpudin berkata Maik turut menyediakan pembiayaan kepada pelajar yang layak terutama golongan asnaf bagi menyambung pelajaran hingga ke peringkat ijazah.

“Maik juga membuka peluang kepada pelajar yang berminat mengikuti kursus kemahiran di beberapa institusi kemahiran yang diiktiraf seperti Kolej Automotif Antarabangsa Malaysia, bagi membantu mereka membina kehidupan yang lebih baik,” katanya.

– Bernama

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

Hidangan asli dari Kelantan

PERNAH dengar sarapan naik pesawat? Jika jawapannya tidak, anda silap. Sekarang sarapan sudah diterbangkan dalam pesawat untuk mereka penggemar makanan, terutamanya dari negeri Cik siti Wan Kembang. Menu sarapan ini dibawakan Kelate Flying Breakfast (KFB) khusus buat pencinta setia masakan tradisi Kelantan. Pemilik KFB, Tengku Azah Tengku Mahmood,33, berkata, KFB […]

Subscribe US Now