Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Antara Kelantan Utilities Mubaarakan Sdn. Bhd. (KUM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

KOTA BHARU – Kerjasama dengan pihak Universiti Malaysia Kelantan (UMK) adalah berkait rapat dengan pelantikan Kelantan Utilities Mubaarakan Sdn. Bhd. (KUM) sebagai agensi yang bertanggungjawab membangunkan Pelan Induk Pembangunan Mampan Kerajaan Negeri Kelantan.

Mengikut pelan ini, salah satu aspek yang perlu diberikan perhatian serius oleh Kerajaan Negeri ialah industri biodegradasi. Hal ini selaras dengan halatuju Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk menghapuskan penggunaan plastik berasaskan petroleum.

Sebagai persediaan untuk mencari alternatif bagi plastik berasaskan petroleum ini, industri biodegradasi ini perlu dikembangkan dalam masa yang terdekat ini. Oleh yang demikian, bagi memastikan industri ini dapat dimulakan dan dibangunkan dengan lancar, maklumat asas yang tepat perlu diperolehi melalui kajian lapangan. Penglibatan UMK dalam usaha ini amatlah diperlukan.

Objektif kerjasama bersama pihak UMK adalah untuk menjalankan kajian dan pembangunan berkaitan pelaksanaan pembangunan mampan di mana fokus awal adalah dengan mengadakan kajian secara menyeluruh berkenaan dengan penggunaan plastik dan potensi menggantikan bungkusan plastik (termasuk beg plastik dan bekas polisterin) dengan plastik biodegradasi di Negeri Kelantan.

Salah satu program yang ditawarkan oleh UMK adalah melalui Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi, di mana ia mempunyai kaitan dengan pembangunan mampan di Negeri Kelantan yang berlandaskan teknologi hijau.

Acara MOU yang diadakan di Dewan Teratai Kota Darul Naim hari ini dengan KUM diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Haji Abdul Rashid Mohd Yusoff merangkap Pengarah Eksekutif KUM dan Haji Mahadi manakala UMK diwakili Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Noor Azizi Ismail dan Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar.

Acara MOU tersebut disaksikan oleh Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Mohd Amar Abdullah merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Kelantan Utilities Mubaarakan Holding Sdn. Bhd. (KUM) dan Exco Kerajaan Negeri, YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail merangkap Ahli Lembaga Pengarah KUM.- UPKN KELANTAN 16/4/2019

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment