KOTA BHARU: Adun Guchil Mohd Ruslan Puteh berharap agensi kerajaan negeri dan pusat mengambil tindakan berterusan membendung gejala sosial yang dikesan berlaku secara haram di negeri ini.
Beliau berkata pendedahannya mengenai isu tersebut pada persidangan Dun semalam bagi membolehkan agensi penguatkuasa membanteras gejala tersebut tanpa mengira masa.
“Kita tidak nafikan Kelantan sudah jauh berubah sejak 1990 di bawah kepemimpinan ulama. Tidak lagi ditemui aktiviti maksiat dan hiburan secara berlesen di sini.“Namun masih ada pihak yang mengambil kesempatan melakukan perkara yang menyalahi peraturan kerajaan negeri dan Islam,” katanya di sini.
Menjelas lanjut beliau yang juga Naib Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan berkata masih ada wanita warga emas mengambil berkeliaran pada awal pagi melakukan maksiat.
Sedangkan katanya pencegahan sering dilakukan agensi kerajaan termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam dan polis.
“Saya berharap gerakan membanteras gejala itu terutamanya di sekitar Jalan Hamzah perlu dilakukan secara berterusan kerana ia boleh menjejaskan imej Kelantan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/10/2016