KUALA KRAI – Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan di Jajahan Kuala Krai kekal 54 orang petang ini, sama seperti tengah hari tadi.
Menurut Portal eBanjir Negeri Kelantan, seramai 47 orang daripada 14 keluarga dari Kampung Ghucil 7 di sini ditempatkan di Dewan Pejabat Veterinar Kuala Krai manakala tujuh orang daripada satu keluarga dari Kampung Olak Jeram berada di Madrasah Mesek di sini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan Mohammad Hanafi Maulud, ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir itu berkata barangan keperluan termasuk makanan dan selimut telah diagihkan kepada penduduk terbabit.
Beliau berkata kesemua mangsa banjir itu berada dalam keadaan selesa dan agensi kerajaan yang lain turut membantu di pusat pemindahan tersebut. – Bernama