Mangsa banjir tidak dilayan duduki PPR

KOTA BHARU: Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang sudah hampir dua tahun siap, namun sehingga sekarang belum lagi diduduki.

IMG_7385Lebih malang lagi 38 mangsa banjir akhir 2014 di Gua Musang yang dicadang menduduki PPR juga tidak dipertimbang.

“Sepatutnya bagilah kepada mangsa banjir terbabit masuk dahulu, sebab di tempat lain pun rumah kekal kepada mangsa banjir diberi percuma,” kata anggota Exco Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Isu PPR sudah acap kali didedahkan Harakah, malah boleh dianggap seumpama projek “gajah putih” apabila gagal dimanfaatkan sehingga sekarang biar pun sudah lama siap dibina.

PPR tersebut merupakan janji Umno pada pilihan raya kecil Dun Galas pada akhir 2010, terdapat 10 blok yang mengandungi 1,000 unit.

Baru-baru ini anggota parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dilapor memberitahu PPR akan diserah kepada pembeli pada bulan ini selepas selesai urusan pinjaman bank.

Abdul Fattah berkata mengapa payah sangat hendak jual PPR yang sudah siap dibina, sedangkan sebelum ini kerajaan pusat mengumumkan penubuhan Bank Perumahan.

“PPR hendak jual pun payah, malah pergi ke bank pula payah.. Jadi kita hendak tanya di mana pengumuman penubuhan Bank Perumahan seperti dibuat lebih setahun lepas,” katanya pada persidangan Dun petang ini.

Abdul Fattah juga menjelaskan data kemajuan projek rumah banjir di Kelantan yang disebut semalam adalah tepat dan bukan dimanipulasi bagi tujuan politik.

“Data yang sebut semalam adalah tepat dan telah dipersetujui bersama. Laporan yang diberi pada mesyuarat 10 Februari lepas jumlah rumah yang disiapkan kerajaan pusat sebanyak 256,” ujarnya.

Manakala kerajaan negeri pula menyiapkan sebanyak 497 rumah kekal. – HARAKAHDAILY 9/3/2016

(Visited 6 times, 1 visits today)

Add Comment