TUMPAT: Anggota Exco kerajaan negeri turut bersimpati terhadap keluarga mangsa bunuh yang berusaha menjaga kebajikan adiknya sehingga akhir hayat.
Mumtaz Md Nawi menyifatkan mangsa seorang abang yang sanggup mempertahankan adiknya akhirnya meninggal dunia ketika mempertahankan anggota keluarganya sendiri.
“Saya cukup bersimpati dengan apa yang berlaku, diharap isteri mangsa bersabar menghadapi ujian ini,” katanya ketika menziarahi isteri Allahyarham Mohd Shukri Husin, Noriah Lah di Kampung Kok Keli dekat sini.Mohd Shukri Husin, kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan dilaporkan meninggal dunia akibat ditikam bakal adik iparnya di kawasan letak kenderaan di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu Sabtu lepas.
Mangsa bersama adiknya dikatakan datang ke Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Terengganu (Maidam) pagi Sabtu bagi menyemak status perkahwinan bakal adik iparnya.
Noriah yang sarat mengandung anak sulung dijangka bersalin bulan hadapan.
“Saya amat sedih dengan apa yang berlaku, arwah tidak sempat menimang cahaya mata kami. Tetapi saya redha dengan apa yang berlaku,” ujarnya.
Mumtaz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan, menyifatkan kes bunuh tersebut begitu trajis sekali kerana seorang abang sanggup mempertahankan adiknya sehingga akhir hayat. – HARAKAHDAILY 18/10/2016