KOTA BHARU – Berpegang kepada prinsip tidak ada manusia dilahirkan bijak mahupun bodoh, sebaliknya hanya ada mereka yang rajin atau malas membuatkan dia gigih berusaha membuktikan apa yang dipegang suatu realiti.
Penerima Sijil Graduasi Terbilang Sekolah Menengah (SM) Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Muhammad Rikman Hakim Roslan berkata, prinsip itu menjadi pegangannya dan sentiasa menjadi motivasi untuk terus mengejar kecemerlangan.
“Semua manusia dilahirkan sama, yang membezakan orang berjaya dan gagal adalah sikap mereka, sama ada rajin berusaha atau sebaliknya. Kerana ada usaha, kejayaan akan dapat kita kecapi,” katanya kepada Sinar Harian pada Majlis Graduasi Ke- 18 SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra di sini, kelmarin.
Dalam pada itu, Muhammad Rikman yang juga penerima Anugerah Khas Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan Anugerah Khas Alumni 2016 berkata, antara rahsia yang mendorong kejayaan dikecapi adalah selalu memotivasikan diri dan tidak membiarkan kegagalan mempengaruhi prestasi.
Menurutnya, selain itu, pelajaran perlu menjadi keutamaan bagi seorang pelajar dan jangan sesekali mengambil mudah mengenainya walaupun peperiksaan masih jauh.
“Sebagai pelajar, konsisten perlu ada, selain fokus dan menghormati guru serta ibu bapa, sentiasa ringan tulang untuk membantu, tidak sombong dengan guru dan rakan-rakan di samping menjaga hubungan dengan ALLAH serta manusia,” katanya.
Seramai 155 pelajar bergraduasi pada majlis berkenaan yang disempurnakan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz.
Turut berangkat, Tengku Puan Temenggong Kelantan, Datin Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh dan pengetua, Mohd Razuki Sulaiman.
Sementara itu, Mohd Razuki berkata, kecemerlangan pelajar sekolah itu tidak dapat dinafikan selepas kejayaan demi kejayaan dikecapi termasuk dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dan ia merupakan kejayaan yang dicapai hasil kerjasama semua pihak. [SINAR HARIAN]