Masalah bekalan air sering terputus selesai

TANAH MERAH – Masalah bekalan air sering terputus kerana saluran paip pecah setiap kali hujan lebat yang dihadapi penduduk Kampung Bukit Pauh, dekat sini, berakhir apabila paip lama digantikan dengan paip baharu.

Wakil penduduk, Mohd Pilaiman Ibrahim berkata, masalah itu selesai dengan pemasangan saluran paip baharu sepanjang kira-kira 300 meter hasil sumbangan Penyelia Dun Gual Ipoh, Wan Yusoff Wan Mustapha.

Menurutnya, saluran paip itu menyalurkan bekalan air dari air takungan bukit atau tandak di Air Terjun Lata Belacan kepada hampir 100 kediaman di kampung berkenaan.

“Paip plastik yang lama dah berusia puluhan tahun dan merentangi sungai, jadi selalu pecah tiap kali hujan lebat kerana terkena batu sungai yang dibawa arus,” katanya selepas gotong-royong itu yang disertai kira-kira 60 penduduk.

Wan Yusoff (tiga, kiri), Razali (kiri) dan Mohd Pilaiman (dua, kanan) pada gotong-royong memasang saluran paip baharu di Kampung Bukit Pauh.

Turut serta dalam gotong-royong bermula jam 8 pagi hingga 5 petang itu, Wan Yusoff dan Timbalan Pengarah Majlis Tindakan Dun Gual Ipoh, Razali Yusoff.

Mohd Pilaiman memberitahu, selain Kampung Bukit Pauh, saluran paip dari tandak berkenaan turut membekalkan air kepada beberapa keluarga di Kampung Bukit Merbau.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Cikgu Wan (Yusoff) atas sumbangan paip baharu ini. Terima kasih juga kepada penduduk yang menjayakan gotong-royong ini,” katanya.

Sebelum itu, peserta gempar seketika apabila Razali yang membawa paip ke atas bukit bersama beberapa penduduk diserang sesak nafas selama kira-kira tiga minit. [SINAR HARIAN]

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment