KOTA BHARU: Mashanis Mohamed, pelajar Institut Perguruan Sultan Mizan Besut Terengganu melakar sejarah menjadi juara pertama program Ekspresi Kalam yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan NGO negeri, Datuk Dr Ramli bin Mamat sewaktu berucap dalam program tersebut menekankan aspek penglibatan anak muda dalam aktiviti yang bermanfaat seperti itu.
Pentas Akhir Ekspresi Kalam 2016 berlangsung di Dataran Stadium Sultan Mohamad IV, di sini.
“Meskipun program realiti agama sering dikaitkan dengan lahirnya penceramah bersifat segera, namun ia sekurang-kurang memberi pendedahan awal yang baik kepada peserta yang bercita-cita untuk menjadi pemidato hebat masa depan.
“Ketika program realiti menjadi suatu fenomena masyarakat dunia hari ini, Kerajaan Negeri Kelantan juga tidak ketinggalan untuk bersama menganjurkan program seumpama ini untuk golongan remaja dan belia terutamanya,” kata beliau.
Pemidato Muda PM Mashanis anak kelahiran Ketereh, membawa pulang hadiah dalam bentuk wang tunai bernilai RM3,000 dan beberapa hadiah lain yang disediakan pihak penganjur.
Tempat kedua disandang oleh Wan Muhammad Faizat Wan Mohd Sanusi, tempat ketiga Ahmad Hakim Baihaqi Mohd Suhaimi dan keempat Syahrul Adam Salleh Ibrahim yang masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000, RM1,000 dan RM300 serta sijil dan cenderamata.
Manakala Pemidato Muda lain yang tersingkir awal menerima wang tunai RM300 dan hadiah iringan.
Program anjuran kerajaan negeri itu adalah kerjasama dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, Urusetia Belia dan Sukan Negeri Kelantan dan Konfederasi NGO Kelantan. – HARAKAHDAILY 26/12/2016