Masjid Muhammadi jadi hotspot

KOTA BHARU – Menyambung sinergi #QuranHour, Masjid Muhammadi Kota Bharu sekali lagi dipilih untuk menjadi hotspot bagi Malaysia #QuranHour di negeri ini yang bakal diadakan pada 16 Jun nanti, bersamaan 24 Ramadan.

Imam Masjid Tua masjid negeri itu, Rosli Che Soh berkata, jawatankuasa pengurusan masjid yakin kehadiran umat Islam untuk menyokong dan menyertai program pada bulan Ramadan ini akan meningkat.

“Kita memang mengharapkan sambutan daripada orang ramai pada program Malaysia #QuranHour, apatah lagi ia dijalankan pada bulan Ramadan yang sememangnya kita baca, faham dan amal al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian di Masjid Muhammadi, di sini semalam.

Beliau menggesa masyarakat Kelantan khususnya warga bandar Kota Bharu, hadir pada 16 Jun nanti bersamaan 24 Ramadan ini.

 Rosli berkata, sempena bulan yang berkat ini, pihaknya turut meminta mereka yang tidak dapat hadir ke masjid mengambil kesempatan pada masa yang sama dalam tempoh satu jam pada hari tersebut dengan membaca al-Quran.

“Pihak jawatankuasa urus setia yang mengurus program sangat berharap bagi yang tidak sempat hadir, mereka diminta membaca al-Quran sama ada di rumah, hospital, dalam kereta, pejabat dan dalam perjalanan menggunakan kenderaan awam.

“Imarahkanlah bacaan al-Quran pada bulan puasa kerana kita pasti mendapat keberkatan dan pahala berganda, sebagaimana al-Quran menjadi petunjuk kepada manusia,” katanya.

Kata beliau, menariknya pada tarikh tersebut, ia sudah menghampiri waktu sambutan Hari Raya Aidilfitri, malah ketika itulah rancaknya umat membuat persiapan perayaan berkenaan.

“Semasa itu, umat Islam sudah sibuk membuat persiapan hari raya, namun menerusi program Malaysia #QuranHour, ia secara tidak langsung mengingatkan kita supaya tidak lupa membaca al-Quran.

“Malah, ketika itu, kaum ibu pula sibuk menyiapkan kuih raya dan menjahit pakaian raya, mereka juga diingatkan supaya tidak mengabaikan al-Quran kerana masa tersebut sangat afdal untuk duduk membaca dan fahami al-Quran,” katanya.- HABSAH ISMAIL SINAR HARIAN 29/5/2017

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment