PERUTUSAN USTAZ DATO’ BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN SEMPENA MAULIDUR RASUL 1438
بسم الله الرحمن الرحيم
قال الله تعالى: وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا كَافَّةً لِلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui. (Saba’ :28)
Mendalami sirah Rasulullah ﷺ yang menjadi qudwah kepada seluruh manusia dengan mengamalkan segala sunnahnya adalah petanda kecintaan kita kepada Baginda. Sebelum marhalah Nubuwwah lagi, Rasulullah ﷺ telah menumpukan kehidupannya untuk bertahannus atau mendekatkan diri kepada Allah dengan mengikuti agama Nabi Ibrahim Alaihissalam.
Hal ini bagi membina kekuatan jiwa dan kekentalan hati khasnya Baginda berada di zaman jahiliah yang telah merosakkan ramai masyarakat. Setelah Baginda menerima wahyu, Baginda ﷺ sudah mempunyai kekuatan dan ketabahan diri dalam menyebarkan dakwah Islam dan menegakkan perjuangan Islam. Tugas utama Baginda ﷺ ialah menyampaikan wahyu Allah kepada semua manusia tanpa mengira fahaman, sebagaimana firman Allah:
يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ بَلِّغْ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ ۖ وَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَمَا بَلَّغْتَ رِسَالَتَهُ ۚ وَاللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنَ النَّاسِ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu. Dan jika kamu tidak laksanakan, kamu tidak menyampaikan risalah-Nya. Padahal Allah memelihara kamu dari gangguan manusia. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.” (Al-Maidah:67)
Rasulullah ﷺ sangat bertabah dan menggunakan pendekatan ‘nafas panjang’ dalam berdakwah. Baginda ﷺ tidak pernah putus asa apatah lagi meninggalkan perjuangan menegakkan Islam walaupun menghadapi pelbagai cabaran getir. Pengkhianatan dan caci-maki musuh Islam terlalu kuat sehingga mencederakan jasad Rasulullah ﷺ yang mulia. Sehinggakan Malaikat datang meminta kepada Baginda untuk berdoa ke hadrat Allah apa sahaja dan pasti Malaikat akan menghempapkan bukit ke atas penduduk yang menyakiti Rasulullah ﷺ namun jawab Baginda:
بَلْ أَرْجُو أَنْ يُخْرِجَ اللَّهُ مِنْ أَصْلاَبِهِمْ مَنْ يَعْبُدُ اللَّهَ وَحْدَهُ لاَ يُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا
Maksudnya: “Jangan, bahkan aku berharap semoga Allah melahirkan daripada keturunan mereka orang-orang yang hanya menyembah Allah serta tidak menyekutukan-Nya dengan suatu apapun.” (Riwayat Bukhari)
Begitulah matang dan sejahteranya dakwah yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ sehinggakan kejayaan demi kejayaan Allah datangkan kepada perjuangan Baginda ﷺ. Buat umat Islam, tumpukanlah tugasan masing-masing untuk memelihara kesucian agama, berprinsip dan bertegaslah dalam menjaga Islam. Jangan sekali-kali gentar dan tunduk kepada celaan orang mencela. Jadikanlah Rasulullah ﷺ sebagai qudwah dan penyelamat perjuangan Islam yang didokong serta disokong pada hari ini.
Sesungguhnya, kemenangan kepada perjuangan ini sangat dekat, ianya sudah berada di atas kepala kita hanya menunggu seruan ‘Kun Fayakun’ Yang Maha Berkuasa. Istiqamahlah bersama bahtera Islam yang dibawa oleh Baginda ﷺ. Sempena memperingati Maulidur Rasul 1438H ini, perbanyakkan Selawat serta membaca sirah Baginda ﷺ agar hati kita sentiasa tertaut dan cintakan Baginda ﷺ.
USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
(DATO’ BENTARA KANAN)
Menteri Besar Kelantan
12 Rabiul Awwal 1438H/12 Disember 2016M – HARAKAHDAILY 12/12/2016