KOTA BHARU: Perkembangan kesihatan Menteri Besar hari ini semakin bertambah baik di mana wayar yang di sambung ke badannya sudah tidak kelihatan lagi.
Ia dapat memudahkan Ustaz Datuk Ahmad Yakob bergerak dalam wad termasuk juga ke tandas tanpa dibantu ahli keluarganya.
Setiausaha Politiknya Wan Roslan Wan Hamat berkata sejak hari Jumaat Menteri Besar sudah boleh makan dan minum seperti biasa.
“Beliau juga dapat bercakap dengan tetamu yang datang menziarahinya. Ustaz Ahmad gembira dengan perkembangan kesihatannya sekarang hasil doa semua pihak.
“Beliau menyampaikan salam kepada semua rakyat Kelantan,” katanya di sini.
Perkembangan memberangsangkan kesihatan Menteri Besar diterima dengan perasaan gembira orang ramai di negeri ini dan Pemuda PAS Kelantan.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan Nazman Che Iberahim melahirkan rasa syukur di atas perkembangan kesihatan Menteri Besar yang cukup memberangsangkan.
“Alhamdulillah, kami rakyat Kelantan dan Pemuda PAS Negeri sentiasa berdoa semoga Ustaz Ahmad segera sembuh.
“Tindak balas kesihatannya begitu cepat berbanding apa yang dijangka sebelum ini,” katanya di sini.
Petang semalam Menteri Besar turut dilawati Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepengunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Seri Alias Ahmad.
Malam Jumaat lepas Pemuda PAS Kelantan mengadakan solat hajat. Solat hajat juga dianjurkan Majlis Tindakan Dun Pasir Pekan dan Kelab Penyokong Kerajaan Negeri. – HARAKAHDAILY 17/4/2016