KOTA BHARU: Bekas Penyelia Dun Tendong, Abdul Hamid Aziz, 56 telah meninggal dunia kira-kira jam 11.45 malam tadi.
Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di Kampung But, dalam Dun Kadok, di sini setelah menderita mengalami masalah jantung tiga tahun lalu.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Asiah Mustapha, 58 dan tujuh orang anak, iaitu lima perempuan dan dua lelaki serta tiga orang cucu.
Asiah ketika ditemui memberitahu, beliau redha dengan pemergian suaminya.
Katanya, allahyarham yang aktif dalam parti sejak berusia belasan tahun, kekal istiqamah dalam perjuangan PAS hingga akhir hayatnya.
“Sejarah allahyarham dalam perjuangan memang membanggakan Kak Yah. Kerana allahyarham aktif di Tendong, sanggup menyewa rumah di sana dan tinggalkan rumah sendiri untuk berjuang di sana.
“Anak-anak kami bertukar sekolah di Tendong untuk mengikutinya bertugas di situ bagi memastikan Tendong kekal di bawah PAS,” ujarnya.
Beliau bersyukur walaupun tidak pernah dicalon sebagai wakil rakyat namun jasanya bukan sedikit sehingga Dun Tendong masih kekal milik PAS hingga kini.
Jenazah allahyarham akan disemadikan di tanah perkuburan Islam kampung berkenaan selepas solat Jumaat.
Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir, Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, anggota exco kerajaan negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, Adun Tendong, Rozi Muhamad, Adun Kadok, Azami Mohd Nor serta lain-lain pimpinan pelbagai peringkat parti dan kerajaan.
Anak sulong lelaki allahyarham Mohd Ezzi, 24, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sudi menziarahi allahyarham sama ada ketika sakit atau selepas kematiannya.
Menurutnya, beliau mewakili allahyarham memohon maaf di atas kesalahan terhadap mereka yang mengenali arwah ayahnya.
“Jika ada arwah ayah berhutang dengan sesiapa, sila memberitahu kami sekeluarga, insya-Allah kami akan membayarnya bagi pihak arwah ayah,” ujarnya.
Semasa hayatnya pernah memegang jawatan penting dalam parti peringkat kawasan dan negeri antaranya Ketua Dewan Pemuda PAS Pasir Mas dan Anggota Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Negeri.
Allahyarham antara 20 orang pemuda PAS negeri yang diberi tugas penting untuk berjuang di peringkat akar umbi seluruh Kelantan bagi merampas kembali PAS.
Setelah PAS menang besar pada tahun 1990, allahyarham dilantik sebagai Timbalan Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri. – HARAKAHDAILY 16/12/2016