1. Kebiasaannya pada setiap hujung tahun merupakan musim tengkujuh di Negeri Kelantan. Melihat kepada keadaan cuaca dan hujan yang sentiasa turun dalam seminggu ini, saya berpesan kepada seluruh rakyat Negeri Kelantan agar bersedia dan berwaspada bagi menghadapi kemungkinan banjir yang akan melanda terutamanya mereka yang terlibat dengan kawasan berisiko banjir.
2. Saya berharap, seluruh rakyat tidak mengambil mudah terhadap setiap arahan dan panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa terutamanya melibatkan arahan untuk berpindah. Apabila arahan berpindah dikeluarkan, hendaklah semua pihak mengambil langkah segera untuk berpindah dan hendaklah dilaksanakan sebelum waktu maghrib. Ini bagi mengelakkan sebarang kesulitan dalam proses pemindahan.
3. Buat masa ini, semua pusat pemindahan sudah pun berada dalam keadaan yang bersih dan lengkap sepenuhnya bagi menghadapi kemungkinan yang akan berlaku. Begitu juga dengan petugas sukarelawan dan anggota penyelamat sudah pun berada dalam keadaan bersedia.
4. Saya menyeru kepada seluruh rakyat Negeri Kelantan supaya melakukan solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT supaya negeri kita tidak dilanda dengan banjir besar pada tahun ini. Semoga kita semua dapat menghadapi ujian di musim tengkujuh ini dengan penuh kesabaran.
YAB USTAZ DATO’ HAJI AHMAD BIN YAKOB
(Dato’ Bentara Kanan)
Menteri Besar Kelantan
28 Rabiul Awal 1440H/6 Disember 2018
https://www.facebook.com/DatoAhmadYakob/posts/930592143797570