Mercu tanda baru di Kelantan

PINTU Gerbang Dataran Cheng Ho di Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu yang dibangunkan hasil cetusan idea bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akhirnya siap dan dirasmikan, malam tadi.

Allahyarham yang dikenali Tok Guru pernah menyuarakan idea mewujudkan mercu tanda di kawasan itu pada 2013, namun tidak sempat menyaksikan pembangunannya apabila beliau menghembuskan nafas terakhir pada 12 Februari 2015 akibat barah prostat.

Pintu gerbang berkenaan direka mengikut seni bina Cina dengan kos bernilai RM600,000.

Ketika upacara perasmian, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, monumen itu menjadi satu lagi mercu tanda baru di Kelantan yang melambangkan masyarakat Cina, negeri itu.

“Pada 2013 di tempat ini (Jalan Kebun Sultan) Allahyarham Tok Guru pernah hadir dan melontarkan ideanya untuk mewujudkan satu mercu tanda di sini.

“Hasil perbincangan, kita setuju untuk membina pintu gerbang yang reka bentuknya mengikut kebudayaan kaum Cina.

“Malam ini (kelmarin) ia dirasmikan dan jadi lambang hubungan perkauman yang erat di negeri ini,” katanya.

Upacara perasmian Pintu Gerbang Dataran Cheng Ho diadakan bersempena Pesta Tanglung yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Perpaduan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Datuk Zamri Ismail.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, nama pintu gerbang itu dipilih bersempena pahlawan hebat, Laksamana Cheng Ho yang terpahat dalam lipatan sejarah Malaysia.

“Sebagai simbolik yang menunjukkan tiada perbezaan kaum di Kelantan, maka nama Cheng Ho dipilih dan ia sesuai dengan keharmonian hidup di negeri ini.

“Saya bersyukur dan gembira dengan kewujudan pintu gerbang ini, malah berharap hubungan masyarakat pelbagai kaum akan terus erat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Tiong Hwa Kelantan, Oie Poh Choon berkata, masyarakat Cina negeri itu terhutang budi dengan Allahyarham Tok Guru yang mengutamakan keharmonian dan perpaduan antara kaum.

“Walau arwah sudah tiada, jasanya kita kenang dan mercu tanda ini antara tinggalan yang boleh mengingatkan kami kaum Cina kepadanya,” katanya.

Masyarakat pelbagai kaum hadir menyaksikan perasmian pintu gerbang itu dan turut dihiburkan dengan persembahan kebudayaan termasuk tarian singa dan dikir barat. HARIAN METRO 6/10/2017

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook0Share on Google+0Tweet about this on TwitterPrint this page

Add Comment