KOTA BHARU : Pengertian merdeka bagi umat Islam ialah apabila bebas untuk memilih jalan yang benar yang tidak terikat kepada keduniaan semata- mata.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, umat Islam sudah membebaskan dirinya sebaik sahaja mengucap dua kalimah syahadah serta memilih jalan yang benar meliputi jiwa, fikiran, perbuatan dan sikap yang tidak terikat dengan kepentingan dunia sehingga melupakan tanggungjawab terhadap Allah.
“Kita semua berhak memastikan hidup kita sentiasa merdeka bukan hanya pada ambang atau malam kemerdekaan atau pada 31 Ogos semata-mata. Kita perlu memastikan setiap masa kita merdeka, iaitu memilih jalan yang benar” katanya.
Menurut Mohd Amar, peringkat awal Islam telah memerdekakan manusia daripada perbuatan menyekutukan Allah serta ideologi yang bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah.
Selepas itu kata beliau manusia pula perlu membebaskan diri dari cengkaman hawa nafsu.
“Selagi kita gagal berbuat demikian, kita tidak akan menjadi manusia yang merdeka dalam pengertian sebenar, kerana manusia yang meletakan dunia melebihi segalanya akan menjadikan kehidupan sempit kerana diikat oleh ruang dan waktu.”
“Berlainan sekiranya akhirat dijadikan matlamat, hidup lebih diberkati dan menjadi luas seluas kehidupan di akhirat itu sendiri. Maka dalam kegahirahan menyambut kemerdekaan, kita perlu berdiri di atas ajaran Islam,“ ujar beliau.
Timbalan Menteri Besar berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Ambang Kemerdekaan dan Ekspo Kelantan 2016 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan, Bandar Baru Tunjung pada 30 Ogos lalu disini.
Sepanjang sambutan itu turut diadakan persembahan silat, gendang Cina, pembacaan puisi kemerdekaan dan pertunjukkan bunga api.- HARAKAH BIL 2178/ 5-8 SEPT 2016