M FAQIH
ISU berkaitan masyarakat Orang Asal seringkali mengisi ruang dalam media harian. Sejak dahulu sehingga sekarang ia tidak pernah sunyi. Tuntutan hak milik tanah, pembalakan, pembukaan ladang dan air sungai keruh sering dibangkitkan mereka. Pernah mereka menyertai demontrasi membantah kewujudan ladang tidak jauh daripada penempatan Orang Asal. Sedangkan kewujudan ladang dan aktiviti pembalakan memberi peluang mereka mencari rezeki. Setidak-tidaknya mereka tidak perlu lagi bergantung kepada sumber hutan dan sungai sebagai punca rezeki. Bagaimanapun sejak dahulu sehingga sekarang mereka tidak jemu membangkitkan tanah adat. Sejauh mana kebenarannya. Oleh itu bagi melihat realiti yang berlaku, ikuti temubual wakil Harakah bersama Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Harakah: Apakah di Kelantan wujud konsep tanah adat?
Mohd Amar: Di Semenanjung secara umumnya tiada konsep tanah adat. Setahu saya tanah adat hanya ada di Sabah dan Sarawak. Ini kerana semua tanah di sini adalah milik kerajaan. Berdasar kepada laporan media ada profesor tidak tahu tanah adat tidak ada di Semenanjung.
Sejauh mana usaha kerajaan negeri membantu masyarakat Orang Asal memiliki tanah sendiri?

Usaha itu sudah lama dilakukan di Kelantan. Kita dalam proses untuk mengazetkan tanah-tanah untuk Orang Asal. Dan setakat ini kita sudah lulus beberapa tempat untuk digazet kepada mereka. Kawasan itu direzab untuk perkampungan Orang Asal. Kelulusan itu ialah di atas tanah kerajaan. Kerajaan negeri menimbang secara berperingkat hasil perbincangan dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa). Sehingga sekarang sebahagian penduduk Orang Asal di Pos Sendrop sudah sudah menerima surat akaun milik tanah pada 2010. Dan tahun lepas 60 penduduk Orang Asal di Kuala Betis menerima geran milik tanah lot rumah. Kerajaan negeri juga mengenal pasti kawasan-kawasan baharu yang akan digazet. Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK) bagi pihak kerajaan negeri merancang mewujudkan penempatan masyarakat Orang Asal di Pos Jedip. Mereka juga minta kawasan kubur pun digazet.
Perancangan kerajaan negeri untuk membela masyarakat Orang Asal?
Kerajaan negeri menyediakan tanah seluas lebih 600 ekar untuk pembangunan Orang Asal di Pos Jedip. Kerajaan negeri melantik YTK bagi membangunkan kawasan tersebut. Pada 2014 YTK mengadakan kerjasama dengan syarikat swasta bagi melaksanakan program pertanian di kawasan seluas lebih 500 ekar. Sekarang saya difahamkan di peringkat penyediaan tapak selepas pihak syarikat mendapat laporan kesan alam sekitar (EIA). Orang Asal yang tinggal di kawasan tersebut berpeluang bekerja di ladang sayur-sayuran di samping membolehkan mereka menimba pengalaman dalam bidang pertanian secara lebih komersial.

YTK sebagai agensi pembangunan masyarakat Orang Asal di Kelantan?

Kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian kepada masyarakat Orang Asal. YTK sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab menjaga kebajikan masyarakat Orang Asal. Program dibuat kerajaan negeri dibuat melalui YTK termasuk sedang dibangunkan di Kampung Jedip, Pos Brooke sekarang. Di situ juga akan disediakan penempatan dan pusat latihan bagi Orang Asal tempatan. Kawasan itu kita allocate untuk masyarakat Orang Asal. Ladang dibuka ambil kira penempatan orang asal. Sebelum lulus projek kita mendapat maklum balas terlebih dahulu daripada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan terutamanya Pejabat Tanah dan Jajahan, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pertanian dan Jabatan Perhutanan. Mereka akan menghantar laporan sama ada tanah yang akan dibangunkan ladang terbabit dengan orang kampung atau tidak. Sudah menjadi amalan setiap projek pertanian yang dilulus terlebih dahulu mendapat pandangan daripada agensi-agensi kerajaan berkaitan. Misalnya Jawatankuasa Pengecaman Tapak akan memastikan tapak itu sesuai atau tidak. Kemudian pergi kepada Jawatankuasa Sehenti Pelaburan. Kedua-duanya dipengerusikan Menteri Besar. Kita dengar pandangan jabatan-jabatan terbabit. Bukan senang kita hendak lulus dan banyak yang kita tolak termasuk daripada agensi kerajaan negeri sendiri.
Isu membabitkan masyarakat Orang Asal hanya menjadi hangat selepas muncul NGO yang dikenali sebagai Pertubuhan Jaringan Orang Asli Semenanjung. Bagaimana kerajaan negeri menanganinya?
Memang diakui isu Orang Asal banyak dimainkan Pertubuhan Jaringan Orang Asli. Dan berdasar kepada maklumat yang sampai kepada kita Orang Asal yang datang demontrasi di Gua Musang dan Kota Bharu diangkut dari luar Kelantan. Demontrasi ada agenda politik semata-mata hendak burukkan kerajaan negeri. Keadaan sebenar tidak seteruk yang mereka cuba gambarkan. Orang Asal pula tidak boleh duduk macam dahulu hanya berburu di hutan sebagai sumber rezeki. Sebab itulah YTK hendak melatih mereka mengusahakan bidang pertanian dan kemahiran tangan supaya mereka boleh berdikari sesuai dengan zaman sekarang.
NGO terbabit seperti ada agenda politik?

Nampak macam ada agenda politik di sebaliknya. Mereka membawa memorandum kepada Menteri Besar menuntut pelbagai perkara, sedangkan sebahagian daripadanya sudah dalam tindakan kerajaan negeri. Mereka yang cuba memperjuangkan isu alam sekitar cuba memberi gambaran yang salah terhadap kerajaan negeri. Sehingga ada laporan berita harian Orang Asal pakai cawat sehingga disiar di muka hadapan sebuah akhbar. Sedangkan pada hakikat sebenar kerajaan negeri tidak mengabaikan. Kerajaan negeri lulus pada dasar dan pelaksanaan dilaksanakan agensi. Agensi memastikan pelaksanaan dibuat mengikut peraturan. JAS sentiasa memastikan pembangunan yang dijalankan tidak menjejaskan alam sekitar. Ada syarikat yang didenda dan dibawa ke mahkamah kerana melanggar peraturan. Pemaju yang dilanggar dikenakan denda. Akta Alam Sekitar memperuntukkan denda antara RM5,0000 sehingga RM10,000 dianggap belum memadai. Kerajaan pusat sepatutnya mengenakan denda yang berat kepada mereka yang melanggar peraturan. Selain itu kakitangan bahagian penguatkuasa hendaklah ditambah.
Hubungan kerajaan negeri dengan masyarakat Orang Asal?
Kita juga meminta jawatankuasa yang dilantik melaksanakan pembangunan di kawasan Orang Asal memasukkan wakil daripada NGO tersebut supaya terlibat sama. YTK memasukkan Orang Asal dalam jawatankuasa pembangunan yang dirancang di penempatan mereka. Kita boleh dengar pandangan mereka. Isu yang ditimbul sebelum ini dilihat sebagai agenda politik. Kalau betul-betul ada kes yang melibatkan kepentingan Orang Asal kerajaan negeri sedia buat semakan.

Tidakkah YTK akan bertindan dengan peranan Jakoa?
Program di bawah YTK hanya ada hubung kait dengan kelulusan tanah kerana ia di bawah bidang kuasa kerjaaan negeri. Tanggungjawab untuk membangunkan Orang Asal adalah di bawah Jakoa, jadi peranan kerajaan negeri agak terbatas. Kita hendak terlibat sesuka hati tidak boleh. Kerajaan negeri hanya sebagai pelengkap kepada peranan dimainkan agensi itu.
[HARAKAH]