Mesra Kasih dekati warga emas

KOTA BHARU: Sebelum ini Skuad Kita Cakna yang turut disertai wakil rakyat sering dilihat turun naik rumah penduduk terutamanya mereka terlantar sakit.

Skuad tersebut dianggotai Muslimat, Penghulu dan Paramedik berkunjung ke rumah penduduk dan menghulur sedikit sumbangan kepada mereka.

Tetapi mulai tahun ini pula, dicetus program Mesra Kasih yang turut disertai anak-anak Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) menziarahi warga emas.

Program berkenaan dianjurkan Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan.

Sehingga sekarang sebanyak 40 rumah warga emas di peringkat Dun terpilih dilawati.

Anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Mumtaz Md Nawi berkata, program berkenaan bermula akhir Januari lepas.

Katanya, anak-anak PASTI diajar menghormati dan menyentuh warga emas di samping mendoakan kesejahteraan untuk mereka.

“Ia bertujuan untuk menyemai sikap menyantuni warga emas. Warga emas seronok melihat kehadiran kanak-kanak.

“Kita adakan program tersebut serentak di seluruh Dun,” ujarnya di sini.

Beliau juga berkata, sekiranya ada rumah warga emas yang perlu dikemas atau dibaiki, ia akan diambil tindakan Adun kawasan terbabit.

Program berkenaan turut disertai Majlis Tindakan Dun, Muslimat, Skuad Kita Cakna, Ameerah, Briged Muslimat dan Mesra (Sukarelawan Remaja) dan guru PASTI.

Adun Tendong, Rozi Muhammad pula berkata, program berkenaan begitu berkesan dan mendapat sambutan masyarakat khasnya warga emas.

“Program ziarah mesra kasih begitu baik dan berkesan di hati warga emas apabila kita datang bertanya khabar di samping menyampai sumbangan keperluan harian,” ujarnya.-HARAKAHDAILY 14/2/2018

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Share on Google+
Google+
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment