MOA jamin bekalan cukup, bantu atasi lambakan

webmaster

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) sentiasa memantau dan memastikan bekalan makanan mencukupi di seluruh negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi memaklumkan, bagi tujuan tersebut pihak MOA telah membuka bilik gerakan khas menjamin keperluan tersebut dipenuhi secukupnya.

Menurut beliau, MOA juga melalui mesyuarat khas bersama EXCO Pertanian Negeri-negeri telah memperincikan kaedah penyelesaian dan pendekatan yang lebih sistematik berkaitan beberapa isu dikenalpasti.

Jelas beliau, ia melibatkan pembekalan, pemasaran dan penghantaran barangan makanan, sekali gus membantu petani, penternak dan nelayan dalam memasarkan hasil pertanian mereka bagi memenuhi keperluan pengguna.

Dato’ Che Abdullah juga memaklumkan, MOA melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah bersetuju membuka pusat jualan barangan segar terkawal di 97 lokasi di seluruh negara bagi tujuan yang sama.

“Sehubungan itu, saya berharap, rakyat jangan khuatir berkaitan bekalan makanan kerana bekalan makanan adalah mencukupi melalui pengeluaran domestik dan juga import.

“Marilah bersama-sama kita mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada barisan hadapan, wira Kementerian iaitu petani, penternak, dan nelayan yang sentiasa memastikan bekalan makanan negara kita sentiasa mencukupi.

“Amalkan kebersihan, sentiasa sanitasi, jaga jarak sosial, dan jaga kesihatan anda, makanlah buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan, sokonglah produk tani kita. We stay at work, and you stay at home. Duduk rumah, jangan keluar. Bersama-sama kita mencegah COVID-19,” serunya.

Sementara itu, pihak FAMA turut menyediakan kemudahan pembelian atas talian dan khidmat penghantaran menerusi AgroBazaar Online yang boleh dimuat turun dari aplikasi tersedia di App Store dan Google Play.

Sokongan berkaitan juga dinyatakan Lembaga Pertubuhan Peladang (PPK) bahawa sekiranya berlaku lambakan hasil tuaian, pihaknya akan menjualnya di Kompleks Pasar Segar Terkawal PPK berdekatan serta pasaran lain yang berpotensi membantu petani.

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob turut menegaskan perkara sama bahawa bekalan makanan dijamin mencukupi sepanjang tempoh PKP di mana rakyat tidak perlu panik, sebaliknya perlu kekal tenang dan duduk rumah mematuhi arahan.

Bahkan makluman beliau turut diperkukuhkan dengan jaminan Majlis Keselamatan Negara bahawa setiap aktiviti yang berkaitan dengan pertanian termasuk seluruh rantaiannya adalah dibenarkan di sepanjang tempoh PKP. – HARAKAHDAILY 5/4/2020

Sumber: https://harakahdaily.net/index.php/2020/04/05/moa-jamin-bekalan-cukup-bantu-atasi-lambakan/

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

Sultan Kelantan perkenan potong emolumen diraja

KOTA BHARU: Sultan Muhammad V turut berkenan mengembalikan emolumen diraja kepada perbendaharaan negeri selama enam bulan bermula April ini. Pengelola Istana Diraja Kelantan, Nik Shafirman Nik Hassan berkata, langkah itu sebagai usaha bagi meringankan bebanan rakyat. “Baginda berharap emolumen diraja yang dikembalikan itu dapat membantu meringankan beban rakyat yang terjejas […]

Subscribe US Now