KOTA BHARU: Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Cawangan Kelantan menyeru seluruh ahlinya turun beramai-ramai ke Himpunan RUU 355 di Padang Merbok Kuala Lumpur pada 18 Februari depan dengan pelbagai acara yang dijadualkan bermula jam 3 petang.
Ahli ILMAM Kelantan yang berjumlah ribuan orang bukan sahaja berada di Kelantan, malahan ada merata-rata di seluruh negara.
Exco Dakwah ILMAM Kelantan, Ustaz Adnan Wazir menyatakan demikian sewaktu bersama menyertai Mobilasi Himpunan RUU 355 anjuran ILMAM Kelantan yang diadakan di Laman Sejahtera Taman Hijau dekat sini.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Nik Muhamad Abduh Nik Abd Aziz turut singgah memberi sokongan mobilasi itu.
“Golongan agamawan perlu berada di barisan hadapan apabila ada isu-isu yang melibatkan soal penambahbaikan dan pemerkasaan undang-undang Islam di negara ini.
“Sebalik, amat malang dan mendukacitakan apabila kalangan orang agama sendiri mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat,” katanya.
Menyentuh tentang ILMAM, Ustaz Adnan menyebut bahawa ILMAM bukanlah pertubuhan baru yang dianggotai oleh lepasan mahasiswa mahasiswi yang pernah belajar di Mesir sama ada aliran agama dan selainnya.
Ia telah sekian lama wujud berpusat di Kuala Lumpur dan cawangan ILMAM wujud hampir merata di seluruh negara, mempunyai misi yang sama menghimpunkan seluruh alumni yang pernah belajar di Perlembahan Nil.
“Cuma kita berhasrat untuk lebih mengaktifkan ILMAM Cawangan Kelantan yang sebelum ini kegiatannya agak perlahan, terutama dalam menjuarai isu melibatkan agama serta umat Islam dalam negara dan antarabangsa.
“Kelompok generasi baru ILMAM mengambil inisiatif memberi nafas baru kepada ILMAM Kelantan, terutamanya bertanggungjawab menjadi benteng kepada Kerajaan Negeri Kelantan yang sering menerima serangan fitnah,” ujar Ustaz Adnan lagi. – HARAKAHDAILY 16/2/2017