MPKB-BRI roboh bangunan sementara tanpa kebenaran

tech

KOTA BHARU – Tindakan sesetengah peniaga yang masih berdegil walaupun telah diberi notis amaran berhubung binaan bangunan sementara tanpa kelulusan, akhirnya dikenakan tindakan apabila Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) meroboh bangunan terbabit dalam ops roboh di sini, semalam.

Dalam proses merobohkan binaan sementara beberapa premis termasuk kedai makan, kedai runcit dan kedai-kedai hiasan, beberapa peniaga di kawasan itu akhirnya, terpaksa akur dengan keadaan berkenaan memandangkan mereka sudah diberi amaran sebelum ini namun masih tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Setiausaha MPKB-BRI Rosnazli Amin berkata, pihaknya mengambil tindakan sedemikian setelah lebih setahun memberi masa kepada para peniaga berkenaan namun masih tidak mengendahkan amaran.

“Kita telah banyak kali memberi peluang kepada mereka dan kali ini kita tidak akan berkompromi lagi terhadap mana-mana peniaga yang ingkar.

“Bukan kita tidak benarkan mereka berniaga, namun jika mahu membina binaan baru untuk membesarkan kedai perlulah membuat permohonan dahulu melalui MKPB-BRI. Langkah terbabit perlu bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan dan berdepan pelbagai masalah di kemudian hari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat tapak kedai yang dirobohkan di sekitar Pasar Borong Wakaf Che Yeh di sini semalam.

Rosnazli berkata, tindakan diambil di bawah Seksyen 70 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, kerana membina bangunan di kawasan yang kurang sesuai dan turut mengganggu kesesakan lalu lintas.

“Pada hari ini (semalam) sebanyak 23 unit binaan tanpa kebenaran dikenal pasti di kawasan Jalan Abdul Rahman, Wakaf Che Yeh di sini.

“Dengan kekuatan 102 anggota yang terdiri daripada 80 anggota penguat kuasa enam orang polis, lima petugas Air Kelantan dan lima petugas Pejabat Tanah dan Jajahan dan enam petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB), kita menjalankan proses meroboh bangunan yang dikenal pasti,” katanya.

Rosnazli berkata, ops berkenaan akan diteruskan dari masa ke semasa bagi membendung masalah kesesakan lalu lintas dan memastikan kawasan pasar Borong Wakaf Che Yeh mendapat sambutan ramai bukan sahaja dari pengguna dari dalam dan luar Kelantan.

“Ini juga sebagai peringatan kepada orang ramai supaya tidak melanggar peraturan dan membina bangunan secara haram tanpa kelulusan pihak berkuasa. Jadi saya nasihatkan kepada pihak yang ingin membina bangunan tambahan, agar terus berjumpa pihak MPKB-BRI bagi berbincang dan mendapatkan kelulusan,” katanya.

— Sinar Harian

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

Lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai mampu siap lebih awal

KOTA BHARU – Syarikat kontraktor, Chengal Jati Sdn Bhd yang memperoleh tender fasa 2A pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai yakin mampu menyiapkan pembinaan tersebut lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan. Pengarah Urusannya, Datuk Ir Shaari Hassan berkata, mengikut terma kontrak, pihaknya akan memulakan pembinaan esok (22 April) dan mengambil […]

Subscribe US Now