Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menyeru semua Ahli Parlimen Malaysia menyokong Rang Undang-undang pindaan Akta 355 yang bakal dibahaskan di Parlimen Oktober nanti.
Seruan itu dipetik dari tulisan terbaharu beliau dalam Bayan Linnas bertajuk ‘Isu Cadangan Pindaan Akta 355: Satu Pendapat’ di portal rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Dr. Zulkifli berpendapat, ia mesti disokong kerana dibentang oleh wakil rakyat yang membawa aspirasi para pengundi Islam yang mahukan pemerkasaan Mahkamah Syariah di Malaysia dan menunjukkan tanggungjawab seorang ahli Parlimen yang juga mewakili keperluan dan kebajikan rakyat beragama Islam terutama sekali ia meliputi hal kekeluargaan, hal kesucian aqidah dan isu-isu masjid, waqaf, zakat dan sebagainya di kawasan parlimen masing-masing.
“Seseorang yang beriman wajib baginya memartabatkan perundangan Islam seupaya mungkin termasuk melalui pemerkasaan Mahkmah Syariah dan taqnin (kodifikasi/penggubalan undang-undang) yang diperlukan,” jelas Dr. Zulkifli dalam tulisannya.
Tegas beliau lagi, bidang kuasa membicara dan menjatuhkan hukuman oleh Mahkamah Syariah atas kesalahan-kesalahan jenayah syariah seperti yang termaktub di bawah Akta 355 adalah tidak mencukupi untuk mencapai keadilan seperti mana yang diperuntukkan di dalam syarak.
Justeru pemerkasaan institusi Mahkamah Syariah perlu disambut baik, sekaligus menjunjung Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku al-Haj Abdul Halim Mu`adzam Shah Ibni al-Marhum Sultan Badlishah yang dilafazkan dalam Majlis Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ketiga Belas pada 7 Mac 2016 yang mahu disegerakan pemerkasaan Mahkamah Syariah.
Selain mengupas isu dengan penelitian ilmiah bersumberkan dalil dan pandangan ulama-ulama muktabar, Dr. Zulkifli turut mempersoalkan golongan yang mempertikai dan membantah pindaan Akta 355 tersebut.
“Perlembagaan Persekutuan itu sendiri telah memperuntukkan wujudnya suatu mahkamah yang bebas daripada mahkamah sivil, yang mengendali isu-isu orang Islam seperti yang termaktub dalam Jadual Kesembilan. Akta 355 juga bukanlah suatu akta yang diluluskan secara semberono tetapi mengikut proses demokrasi, bacaan demi bacaan, tahap demi tahap, dibincang dalam Parlimen dan akhirnya diluluskan. Ini suatu undang-undang yang terhormat hasil keputusan rakyat Malaysia bersama dan ia dicadangkan penambahbaikan melalui saluran yang sama.
Lalu, mengapa masih ada pihak yang begitu keras melarang perkara ini dibincang sama sekali dan seolah-olah tidak menghormati sistem demokrasi negara ini?
Adakah bantahan seperti ini wajar dikemukakan sedangkan kewujudan akta ini sebenarnya ialah keperluan perlembagaan?” soal Dr. Zulkifli sekaligus menjawab tohmahan yang mengatakan ia bercanggah dengan Perlembagaan.
Tulisan penuh Dr. Zulkifli boleh di rujuk di http://muftiwp.gov.my/index.php/perkhidmatan-s/bl/1157-bayan-linnas-siri-67-isu-cadangan-pindaan-akta-355-satu-pandangan