MULAI RAMADAN 1441H, WAKTU SUBUH DI KELANTAN BERANJAK EMPAT MINIT

oleh Norzana Razaly

KOTA BHARU – Berkuatkuasa Jumaat, 1 Ramadan 1441H bersamaan 24 April 2020, waktu solat Subuh di Kelantan perlu ditambah empat minit daripada ketetapan waktu sedia ada tercatat di dalam takwim hijriah.

Maknanya, mulai 1 Ramadan ini, penduduk di Zon 1 (Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan daerah Chiku, Gua Musang) perlu menganjak ke hadapan waktu solat Subuh di dalam takwim sedia ada yang mencatat pukul 5.46 pagi kepada pukul 5.50 pagi dan imsak pula pada pukul 5.40 pagi.

Manakala, bagi Zon 2 pula membabitkan kawasan Jeli, Gua Musang (daerah Galas dan Bertam) dan jajahan kecil Lojing, waktu solat Subuh ialah pada pukul 5.53 pagi dan imsak pada pukul 5.43 pagi.

Menurut pemakluman rasmi melalui surat daripada pejabat Mufti Negeri Kelantan, perubahan tersebut berdasarkan penggunaan nilai altitud matahari di bawah ufuk bagi permulaan waktu terbit fajar sadiq daripada 19 darjah yang digunapakai sebelum ini kepada 18 darjah.

Isi surat tersebut turut memaklumkan bahawa Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan telah mengampuni perkenan perubahan awal waktu solat Subuh bagi seluruh negeri ini hendaklah ditambah empat minit daripada waktu solat Subuh sedia ada.

Keputusan Mesyuarat Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan sependapat bahawa perubahan ini hanya melibatkan waktu solat Subuh dan imsak manakala waktu solat lain kekal tidak berubah dan bagi solat Subuh yang didirikan sebelum perubahan tersebut adalah sah dan tidak perlu diqada’.- UPKN KELANTAN 21/4/2020

(Visited 83 times, 1 visits today)

Add Comment